TERKINI :

Monday, June 20, 2016

Apakah sekarang NAJIB makin kuat, Tun M makin hilang pengaruh..??

Shahbudin Husin,

Keputusan dua pilihanraya kecil semalam barangkali paling membingungkan untuk difikirkan. Bukan saja Pas dan Amanah tidak percaya dengan majoriti kekalahan sebanyak 9,191 di Sungai Besar dan 6,969 di Kuala Kangsar, malah UMNO dan BN sendiri tidak menduga sebesar itu kemenangan mereka.

Ia tidak saja bersandarkan majoriti pilihanraya 2013 lalu hanya 399 dan 1,082 iaitu masing-masing di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi juga melihatkan bagaimana sambutan hangat rakyat terhadap program-program anjuran Pakatan Harapan sepanjang masa berkempen diadakan.

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Tun Mahathir Mohamad yang turun berkempen dan turut mendapat sambutan cukup baik penduduk tempatan, tiada sesiapa menduga kemenangan sebesar itu mampu diraih BN.

Apakah dengan keputusan ini menunjukkan Najib Razak semakin kuat dan Tun Mahathir makin hilang pengaruhnya?

Apakah ini menunjukkan harapan lebih baik untuk BN terus berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang?

Di Sungai Besar, BN memperolehi 16,800 undi manakala Pas 7,609 dan Amanah 6,902 undi. Jika dicampurkan undi Pas dengan Amanah ia menjadi 14,511. Masih kalah kepada BN.

Tetapi dalam pilihanraya 2013 lalu, BN memperolehi 18,695 undi manakala Pas 18,296.

Bermakna undi yang diterima BN dalam pilihanraya kecil ini berkurangan sebanyak 1,896 dan undi blok pembangkang (Pas + Amanah) juga berkurangan sebanyak 3,785 undi.

Di Kuala Kangsar, BN memperolehi 12,653 undi, manakala Pas 5,684, Amanah 4,883 dan Bebas 54. Jika dicampurkan undi menentang BN ialah sebanyak 10,621. Juga masih kalah kepada BN.

Dalam pilihanraya 2013, BN di Kuala Kangsar memperolehi 14,218, Pas 13,136 dan Kamilia Ibrahim dari Bebas 447 undi.

Bererti undi BN berkurangan sebanyak 1,565 undi manakala undi blok pembangkang menurun sebanyak 2,962 undi.

Kesimpulan mudahnya, walaupun menang dengan majoriti lebih besar, undi BN tidak bertambah. Jumlah undi untuk pembangkang pula tentu saja jauh menurun kerana mereka kini sudah berpecah.

Di sebalik keputusan itu ialah pengundi Melayu tradisional terlihat masih memberi sokongan kepada UMNO dan BN. Walaupun ada isu 1MDB, wang RM2,600 juta, pembaziran Rosmah, GST dan sebagainya, pengundi tradisional dapat dilekakan dengan BR1M, wang saku, kain batik, kain pelikat dan meriahnya jamuan serta makan minum sepanjang malam kempen diadakan.

Lagi pula tidak ramai pengundi yang benar-benar faham mengenai putar belit 1MDB dan wang derma RM2,600 juta itu. Mereka lebih faham wang sebanyak RM100 atau RM200 yang masuk ke dalam saku sendiri.

Undi mereka kepada BN juga disebabkan perpecahan dalam blok pembangkang sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru. Kekeliruan mengenai perpecahan itu, atau sebagai isyarat bosan kerana berbalah sesama sendiri, pengundi akhirnya mencampakkan undi kepada BN.

Pengundi Cina juga mula menunjukkan sokongan kembali kepada BN. Namun, trend ini hanya bersifat sementara.

Tidak mustahil pengundi Cina menunjukkan sokongan kepada BN kerana pilihanraya ini hanya untuk memilih Ahli Parlimen dan bukannya menukar kerajaan. Lagi pun janji dan tawaran pembangunan yang diberikan oleh BN kepada mereka dalam dua pilihanraya ini cukup lumayan untuk mereka tolak sehingga pilihanraya umum akan datang.

Dengan menunjukkan seolah-olah mula kembali menyokong BN, pengundi Cina akan terus dilumayankan lagi sehingga 2018 nanti.

Secara umumnya, kedudukan UMNO dan BN masih belum selamat lagi dalam pilihanraya umum akan datang. Kembalinya sokongan pengundi, baik Melayu atau bukan Melayu kepada BN hanyalah bersifat sementara.

Jika blok pembangkang benar-benar bersatu dan pertandingan satu lawan satu menentang BN dapat direalisasikan semula, kecondongan pengundi Melayu lebih cenderung untuk sama-sama menjayakan perubahan. Realitinya undi menolak BN tetap besar dan bukannya ranap sama sekali.

Begitu juga jika gambaran menukar kerajaan benar-benar hampir terbayang sebagaimana pilihanraya 2013 lalu, sentimen pengundi Cina akan kembali menjauhi BN. Tidak mungkin pengundi Cina gembira dengan Najib yang paling banyak onarnya itu dan "senyum" mereka hanyalah sementara.

Hakikatnya, Najib tidaklah semakin kuat dan Tun Mahathir juga tidaklah makin tak laku dengan keputusan pilihanraya kecil ini, tetapi banyak kerja dan usaha lagi harus dilakukan untuk menyelamatkan negara ini.

Harapan perubahan masih belum hilang cahayanya. (SH 19/06/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...