TERKINI :

Sunday, June 19, 2016

Amanah tak perlu lebih Islamik, Melayu untuk jadi juara

PETALING JAYA: Amanah tidak perlu menjadi lebih Islamik daripada PAS atau lebih Melayu daripada Umno untuk muncul sebagai juara politik baru.

Sebaliknya, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, parti itu hanya perlu bersikap inklusif dengan melaksanakan konsep ‘Rahmat untuk semua’.

Jelasnya, Amanah juga tidak perlu tunduk kepada realiti politik sedia ada sebaliknya ia perlu terus membina agenda politik baru.

Tambahnya, politik di negara ini perlu keluar daripada mentaliti perkauman sempit, pemikiran agama dogmatik dan taksub kepartian kepada politik advokasi dasar serta penyertaan pembentukan negara.

“Masyarakat Cina mengundi atas ketidaksetujuan mereka kepada kebejatan tatakelola kewangan negara manakala pengundi Melayu mengundi atas ‘kebimbangan’ kuasa Melayu akan ‘terhakis’ jika undi pembangkang, walaupun mereka tahu salah tadbir kewangan yang berlaku.

“Sampai bila pemikiran pengundi ini hendak dibiarkan membuat penentuan politik sehingga akhirnya pola perkauman akan terus membawa politik negara kepada berantakan dan permusuhan kaum berpanjangan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, adalah salah untuk merumuskan kemenangan BN dan kekalahan PH di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar membuktikan ‘cara lama’ lebih berkesan dan pendekatan baru tidak perlu untuk mencapai kemenangan.

Di Sungai Besar, BN menang dengan 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS (6,902 undi).

Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan Amanah berada di tempat ketiga dengan 4,883 undi selepas BN (12,653 undi) dan PAS (5,684 undi). FMT

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...