TERKINI :

Tuesday, June 14, 2016

Alhamdulillah..Penyokong PAS pelawa menteri UMNO imam solat

PETALING JAYA: Kurang empat hari tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pelbagai coretan cerita dapat dilihat.

Namun lebih mencuri tumpuan apabila penyokong PAS mempelawa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi supaya menjadi imam solat Tarawih di Kuala Kangsar semalam.

Perkara itu dimuat naik sendiri Asyraf menerusi akaun Facebooknya. Beliau menyifatkan penghormatan yang diberi penyokong PAS mengambarkan suasana harmoni kempen PRK Kuala Kangsar.

“Seronok saya melihat suasana harmoni kempen pilihanraya di Parlimen Kuala Kangsar kerana jentera PAS dan UMNO boleh solat berjemaah Tarawih bersama bahkan pimpinan PAS kawasan dan ahli-ahli mereka juga setia mendengar tazkirah daripada saya bahkan meminta saya menjadi Imam Isyak dan Solat Terawih di Madrasah Taman Jasa Kuala Kangsar,” kata ustaz UMNO itu.

Katanya sikap penyokong PAS dan UMNO itu jelas menunjukkan sudah tiba masanya kedua-dua parti mencorakkan budaya politik baharu dengan mengetepikan perbezaan pendapat dan meletakkan kepentingan Islam sebagai asas utama perjuangan.

“Sudah tiba masanya kita mencorakkan budaya politik baru yang meletakkan asas ukhuwwah dan kepentingan Islam melangkaui kepentingan-kepentingan lain hinggakan kita mampu berjiwa besar dalam menguruskan perbezaan-perbezan yang ada di antara sesama manusia,” katanya.

Perkelahian antara penyokong PAS dan UMNO sebelum ini pernah sehingga penyokong masing-masing enggan mengiktiraf imam daripada parti lawan, lalu mencetuskan isu dua imam dalam satu masjid.

Namun kini, semangat puak antara parti Melayu dan parti Islam itu dilihat kian terhakis apabila pimpinan kedua parti menyatakan kesudian bekerjasama dengan kepentingan agama.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...