TERKINI :

Friday, June 10, 2016

AKTA MKN 2015 diwartakan menjadi undang-undang tanpa perkenan Majlis Raja-Raja

*Kenyataan media ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng pada hari Khamis 9 Jun 2016 di Kuala Lumpur:*

Apa agaknya yang telah diberitahu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Majlis Raja-raja mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara? Rakyat berhak tahu sama ada kerajaan Barisan Nasional telah menerima atau menolak nasihat Majlis Raja-raja berkenaan Akta tersebut, apabila Akta Majlis Keselamatan Negara diwartakan menjadi undang-undang tanpa perkenan Diraja.

Pada hari Selasa atau pada 18 Februari, sehari sahaja selepas Majlis Raja-raja mengarahkan supaya rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara diperhalusi, sebuah ‘orde baru’ telah muncul di negara ini dalam bentuk Majlis Keselamatan Negara, atau apa yang saya lebih suka panggil sebagai ‘Majlis Keselamatan Negara Umno (MKN Umno)’. Ini kerana keseluruhan anggota majlis dan ketua pengarahnya adalah dilantik oleh Perdana Menteri, tanpa sebarang campurtangan daripada Majlis Raja-raja, Kabinet atau pun Parlimen sendiri.

Lebih membimbangkan, tafsiran ‘keselamatan negara’ tidak dihuraikan secara panjang lebar di dalam Akta baru itu. Adakah mungkin satu hari nanti, karikatur pemimpin Umno atau tindakan menggugurkan belon di pusat membeli belah pun ditafsir sebagai menggugat keselamatan negara?

‘Orde Baru’ ini secara berkesan telah menjadikan MKN Umno sebagai ketua turus angkatan bersenjata, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Angkatan Tentera 1972 yang memperuntukkan dengan jelas bahawa Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua turus angkatan tentera.

MKN Umno kini dapat menggunakan kuasa-kuasa darurat tanpa perlu perisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong mahupun kebenaran Parlimen. Jika ada yang terkorban dalam operasi-operasi yang diperintahkan oleh MKN Umno ini, boleh berlaku tidak perlu dijalankan sebarang siasatan.

Pun begitu, akta adalah akta, meski tidak dikehendaki bahkan oleh Majlis Raja-raja sendiri, sehinggalah ia dipinda atau dimansukan oleh Parlimen. Akta yang asalnya bertujuan memerangi pengganas dan penjenayah ini tidak meletakkan had dan jaminan bahawa mereka yang berlainan pendapat dengan kerajaan tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan di bawah akta ini.

Akta Majlis Keselamatan Negara adalah Akta Derhaka, yang diwartakan tanpa mengambil peduli titah Majlis Raja-raja supaya diperhalusi kandungannya. Akta Derhaka ini dilulus tanpa perkenan Yang Di-Pertuan Agong. Akta ini adalah simbol penderhakaan Umno yang telah mencuri kuasa Raja-raja Melayu.

Makhluk aneh ciptaan Umno yang tidak diingini sesiapa ini mesti terus dipahat ke dalam akal fikiran semua pihak, termasuk para Raja-raja Melayu dan juga angkatan tentera, terutamanya menjelang dua pilihanraya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kurang sepuluh hari lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...