TERKINI :

Saturday, June 4, 2016

Akta 355 : Khalid Samad tuntut Berita Harian tarik balik berita memfitnah beliau

Surat Tuntutan Berita Harian (Letter of Demand)

Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat ‘Letter of Demand’ atau Surat Tuntutan kepada pihak Berita Harian (BH) berkaitan laporan muka hadapan BH pada 27 Mei 2016 yang lepas. Laporan itu menyatakan bahawa saya telah membantah pembentangan Usul Persendirian YB Marang berhubung RUU Mahkamah Syariah sedangkan ianya jelas bahawa saya telah tidak membantahnya dan pendirian saya berbeza sama sekali dengan DAP tentang perkara ini.

Perlu disebut bahawa ini berhubung kredibiliti dan nama baik saya. Ada niat jahat untuk menggambarkan saya ini sebagai ‘khadam’ pada DAP yang sekadar mengikut sahaja kehendak DAP.

Sedangkan pendirian saya pada ketika itu berbeza dari ahli Parlimen DAP. Mereka tidak setuju usul tersebut dibahaskan di atas sebab prosedur dan peraturan. Saya setuju ianya dibahaskan kerana mengikut fahaman saya ianya tidak bercanggah dengan prosedur mahu pun peraturan. Malah saya tekankan bahawa saya setuju ianya dibahaskan. Persoalan samada setuju atau tidak dengan usul itu sendiri belum timbul kerana ianya belum lagi dibahas. Apa sebenar kehendak di sebalik usul persendirian tersebut belum lagi dinyatakan oleh pembawa usul kerana ianya tidak dibentangkan untuk perbahasan. Sepertimana yang semua sedia maklum, ianya sekadar dibaca.

MENGAPA SAYA BANGUN BERTANYA?

Ada yang bertanya, mengapa saya bangun bertanya? Saya bangun bertanya kerana ingin memberi peluang kepada kerajaan untuk meyakinkan kami sebagai ahli Parlimen dan rakyat jelata bahawa usul persendirian tersebut telah diutamakan untuk dibahas bukan atas sebab perkiraan politik, tiada udang disebalik batu atau agenda tersembunyi. Sebaliknya kerajaan memberinya keutamaan kerana ianya penting dan segala urusan untuk merealisasikan apa yang terkandung di dalam usul berkenaan perlu dimulakan esok! Barulah logik bahawa ianya didahulukan dari segala hal.

Sepatutnya soalan saya itu dijawab dengan tenang dan jelas oleh pihak Kerajaan. Antara jawapan yang boleh diberikan, sebagai contoh, adalah “ianya perkara penting dan perlu didahulukan kerana perlaksanaan terhadap usul YB Marang mampu mencegah maksiat di kalangan ummat Islam. Ianya selari dengan kesimpulan kajian yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri ‘Pasir Sebutir’ yang merumuskan bahawa sekiranya ianya dilakukan maka kadar kesalahan boleh dikurangkan sebanyak separuh”.

Atau, boleh juga dijawab, “sempena menjelangnya bulan Ramadhan maka dianggap amat sesuai usul sebegini didahulukan. Ianya sesuatu yang penting demi menjaga aqeedah dan akhlak ummat Islam.” Atau sebagainya. Takkanlah perkara seperti ini pun perlu saya ajarkan kepada pihak Kerajaan?

Tetapi mungkin ada baik juga soalan saya itu tidak dijawab. Kerana sekarang, bagaimana lagi boleh dipertahankan ianya penting untuk didahulukan apabila perbahasannya sendiri ditangguhkan? Sekiranya ianya penting, yang amat wajib sehingga ianya perlu didahulukan, maka mengapa perbahasannya telah ditangguhkan? Sekiranya ianya boleh ditangguhkan, maka mengapa ianya didahulukan! Tidak hairan, atas sebab ini, ianya dilihat sebagai hanya mainan politik atas sebab pilihan raya kecil SB dan KK. Atau mungkinkah bagi mereka ini urusan Parlimen bukanlah sesuatu yang penting dan boleh ditukar sesuka hati?

Maka siapakah akan bertanggung-jawab atas persepsi terhasil bahawa agama Islam ini khususnya syariatnya, hanya bahan mainan dan alat untuk kepentingan politik orang-orang tertentu, termasuk golongan agamawan?

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Sifat Sidiq sifat Nabi. Makna antara maksudnya ialah bercakap benar. Tidak menipu. Bagaimana sambil menggelar diri sebagai parti politik yang perjuangkan Islam, pimpinan mereka menipu?

Saya memberi notis melalui posting ini, bahawa saya akan menyaman semua yang menuduh saya membantah pembentangan usul persendirian YB Marang. Samada melalui facebook atau kenyataan media mereka, semuanya akan diambil kira. Kecuali mereka yang pernah saya anggap sebagai guru saya dan telah menyumbang terhadap kefahaman saya mengenai Islam, mereka ini saya lepaskan. Buat kali ini sahaja. Oleh itu saya nasihatkan mereka yang terlibat, sila padamkan posting mereka di facebook dan tarik balik kenyataan yang mereka berikan kepada pihak media sebelum operasi ini dimulakan.

KESIMPULAN

Tindakan menyaman tidak merupakan sesuatu yang saya suka lakukan. Namun dalam kes ini, saya rasa ianya keterlaluan. Saya melakukan ini atas niat ingin menyelamatkan mereka dari dosa memfitnah saya dan sebagai pengajaran bagi yang masih belum mula terlibat dalam budaya keji ini. Allah telah berfirman, “fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh”.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...