TERKINI :

Tuesday, June 21, 2016

7 pengajaran PRK: Najib bukan bodoh, PAS rugi besar

Agak pelik apabila seorang popular seperti Dr Abdul Rani Osman (PAS) mencatat undi lebih rendah dari calon Amanah.

prk-sungai-besar-kuala-kangsar-1

Oleh Mohd Shazwan Abd Halim

Sudah tiga hari pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar berlalu.

Bagi pendokong pembangkang, keputusan kedua-dua PRK ini tentulah mengecewakan. Namun perlawanan sebenar adalah pilihan raya umum.

Kekalahan dalam perlawanan boleh menjadi pencetus kepada kemenangan dalam peperangan.

Berikut tujuh pengajaran dua PRK itu, mengikut telahan saya, yang mungkin boleh diambil kira pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang:

Najib bukan bodoh

Di sebalik skandal yang terpalit pada Datuk Seri Najib Razak, Barisan Nasional (BN) kekal utuh. Ini menunjukkan Najib bukanlah bodoh, seperti yang sering diperlekehkan ramai pembencinya. Beliau adalah “haiwan politik” yang cekap.

Seperti dijangkakan, agak sukar dua gabungan pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PKR+DAP+Amanah) dan PAS-Ikatan meruntuhkan dominasi BN di dua kubu kuat BN ini, antaranya kerana:

1. Perpecahan undi pembangkang.
2. PRK yang diadakan terlalu hampir dengan tarikh Hari Raya Aidilfitri menyebabkan sebilagan anak muda yang bekerja di luar berat pulang mengundi.
3. Demografi kawasan semi-urban di mana capaian maklumat pada peringkat nasional melalui media alternatif terbatas berbanding media perdana yang didominasi BN.
4. Kuasa wang dan aset BN yang difokuskan hanya pada dua kerusi.

PAS rugi besar

Selain rakyat, pihak yang paling terkesan pada PRK kali ini adalah PAS dengan kehilangan sebanyak 7,452 undi di Kuala Kangsar dan 11,394 undi di Sungai Besar berbanding PRU13, semasa mereka masih bersama Pakatan Rakyat.

Daripada segi matematik, undi PAS merosot sebanyak 18,846 di kedua-dua kawasan dan secara peratusan ia merupakan kemerosotan sebanyak 60%.

Memandangkan kedua-dua kerusi ini adalah kerusi majoriti Melayu dan “separa bandar” dan kerusi tradisional PAS yang ditandingi sejak sekian lama, kehilangan undi dengan jumlah sebegitu besar sepatutnya menjadi “alarming indicator” agar PAS tidak terbuai dalam dunia sendiri dan mengkaji ijtihad politik mutakhir mereka.

Tambahan lagi, agak pelik apabila seorang popular seperti Dr Abdul Rani Osman mencatat undi yang lebih rendah dari calon muka baharu seperti Azhar Azhar Abdul Shukur dari Amanah.

Amanah yang setahun jagung mampu gugat

Amanah pula sebagai parti baru (sembilan bulan) dalam arena politik tanah air berjaya mencuri 12,429 undi iaitu 23% dari jumlah undi di kedua-dua kawasan.

Bagi sebuah parti baharu yang rata-ratanya belum dikenali pengundi luar bandar, masih dalam proses membina akar umbi serta diberikan imej negatif saban hari oleh akhbar dan televisyen, angka yang diperolehi menunjukkan Amanah bukanlah “just another newcomer” dan mampu menggugat jika kelemahan yang dikenalpasti diatasi pada hari-hari mendatang.

Kembalinya pengundi Cina kepada BN

Faktor paling mengejutkan PRK kali ini tentulah perubahan undi di kalangan pengundi Cina di kawasan luar bandar kepada BN, walaupun dengan usaha keras DAP.

Ini mungkin disebabkan faktor perpecahan Pakatan Rakyat, Amanah yang belum dikenali ramai dan isu nasional yang terputus disebabkan keterbatasan maklumat dari media alternatif.

Faktor Mahathir gagal

PRK kali ini juga memberi isyarat kuat rakyat Malaysia rata-ratanya mengundi berdasarkan kesetiaan kepada parti dan bukannya calon. Ini jelas ditunjukkan apabila kedua-dua calon BN walaupun mendapat protes dari segelintir ahli parti ditambah faktor kempen intensif Tun Dr Mahathir Mohamad masih gagal menggugat majoriti yang dimiliki BN.

Hal ini juga dapat dilihat pada PRU13 apabila Datuk Kamilia Ibrahim hanya mendapat 447 undi apabila bertanding sebagai calon bebas walau dengan pengaruhnya sebagai bekas naib ketua wanita Umno.

Pengundi tidak ‘beli’ isu nasional

Isu nasional seperti 1MDB, dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor naik jet peribadi disewa kerajaan, isu MARA, Tabung Haji dan banyak lagi sepertinya tidak memberikan kesan kepada kecenderungan pengundi.

Pembangkang terlupa mengambil berat akan isu tempatan, walaupun perlu diakui kebanyakannya di luar bidang kuasa mereka (misalnya isu Jambatan Manong di Kuala Kangsar).

Bina semula kesatuan pembangkang

Dengan indikator yang diberikan rakyat pada dua PRK ini, jelas menunjukkan kekuatan pembangkang sepertimana ditunjukkan pada PRU13 perlu disatukan.

PAS perlu sedar dan bangkit dari kemerosotan teruk undi yang diperoleh di kerusi majoriti Melayu tradisional mereka. Pakatan Harapan juga perlu secara terbuka mengakui pengundi Melayu sememangnya “kuasa” PAS.

Kedua-dua pihak harus mengenepikan ego dan kembali semula ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan.

Saya percaya sepenuhnya Amanah dan Pakatan Harapan sentiasa bersedia berunding demi kepentingan rakyat dan masa depan negara ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...