TERKINI :

Wednesday, May 11, 2016

Zakir Naik patut diharamkan jejak Malaysia – Bekas Menteri

KUALA LUMPUR: Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa pendakwah Dr Zakir Naik sebenarnya tokoh Islam yang kontroversi dan tidak memberikan imej positif Islam kepada bukan Islam sebagai agama persaudaraan antarabangsa.

Dalam posting terbaru di blognya hari ini, Zainuddin atau lebih mesra dengan panggilan Zam menulis pendakwah itu menerusi kepakaran perbandingan agamanya menyemaikan perasaan buruk sangka dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.

“Bukan cara kita mengembangkan Islam di Malaysia dengan memperkecil dan menghina agama lain dengan apa cara sekalipun. Ini juga dicegah dengan tegas di Singapura hingga kini termasuk jika pendakwah Kristian cuba menjual agamanya kepada orang Islam di Singapura,” katanya.

Katanya, PDRM juga mengetahui pendekatan dakwah ‘berbahaya’ Zakir kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia tetapi cubaan untuk menyekatnya daripada berdakwah digagalkan oleh kepentingan politik yang memerlukan sokongan kekuatan semua pihak.

Zam berkata, kerajaan Terengganu menganjurkan kedatangannya ke Malaysia dan mahu memberikan tanah di Kenyir untuknya membina pusat latihan dakwah menunjukkan pemimpin baru UMNO tidak menghayati prinsip beragama di negara ini.

“Islam di Malaysia mendapat penghormatan dunia dan di kalangan penduduk bukan Islam di negara ini selama ini bukanlah dengan pendekatan memburukkan dan memperkecilkan agama lain.

“Tetapi dengan mengembangkan sikap toleransi menunjukkan tolak ansur daripada segi sosiobudaya untuk hidup bersama dengan orang lain,” tulisnya.

Sikap ini, katanya masih hidup subur di Sabah dan Sarawak tetapi sedang terhakis dan dihakis di Semenanjung termasuk menerusi sesetengah ustaz atau ustazah selebriti di program agama TV.

“Kita dapat melihat pembangunan Islam di Malaysia terutama program TV yang lebih berunsur ritual, fahaman Islam bersifat sentimen melulu dan tidak mengajar serta memahamkan orang Islam terhadap keperluan hidup beragama dalam realiti ketamadunan manusia.

“Semuanya boleh diatasi dengan doa dan penyerahan kepada Allah. Tidak semudah itu wahai ustaz dan ustazah.

“Beribu orang datang untuk mendengar syarahan Dr Zakir Naik di Terengganu sekalipun mereka tidak memahami bahasa Inggeris kerana didorong perasaan sentimen, emosi dan keghairahan melulu.

“Seorang remaja bukan Islam memeluk Islam kerana mendengar syarahan pendakwah India ini digemparkan seolah-olah kemenangan besar umat Islam. Tetapi berapa banyak bukan Islam yang diislamkan oleh ulama tulen kita tanpa digembar-gemburkan sejak sekian lama,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...