TERKINI :

Thursday, May 5, 2016

Usul pecat 2M, akar umbi UMNO bercanggah pendapat

Nazri Aziz tidak sepatutnya terlalu melatah untuk membawa usul menghukum Muhyiddin dan Mukhriz kerana ia akan mempercepatkan UMNO terkubur.

nazri-aziz_muhyiddin_Mukhriz_600_12
PETALING JAYA: Cadangan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencetuskan percangahan pendapat dalam kalangan pemimpin akar umbi parti Melayu itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Pandan, Datuk Mad Aris Mad Yusof membidas tindakan Nazri Aziz menyifatkan ia akan hanya mempercepatkan parti itu terkubur.

Ujarnya, langkah itu akan mewujudkan lebih banyak kumpulan di dalam parti kerana masing-masing daripadanya mempunyai penyokong tersendiri.

“Ada masalah sikit, semua kena pecat, lama-lama habis orang UMNO. Saya kenal Nazri, kadang-kadang saya tidak setuju dengan beliau kerana keputusannya banyak mengikut perasaan. Nazri sepatutnya menjernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi.

“Sekiranya dua pemimpin ini dipecat, UMNO akan jadi lebih teruk dan semakin lumpuh. Malah akan wujud lebih banyak lagi kumpulan dalam UMNO sebab Mukhriz dan Muhyiddin ada penyokong mereka tersendiri,” katanya kepada FMT.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma pula menyokong cadangan tersebut.

“Kita tidak mahu ada duri dalam daging, kalau nak marah sangat kepada presiden tak perlu masuk atau bersekongkol dengan pembangkang. Dulu dia (Muhyiddin) bercakap di Kangar mana-mana pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat kepada agama, bangsa dan hari ini balik kepada dia.

“Pada saya Muhyiddin dan Mukhriz sebagai pelakon sahaja, pengarahnya di belakang tidak tahu siapa. Muhyiddin tidak sepatutnya menggunakan keduduknya untuk menghancurkan parti. Ahli parti dan semua orang sudah meluat dengan Muhyiddin,” katanya.

Kenyataan Zein itu turut disokong Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing.

Ini kerana apa yang dilakukan dua pemimpin itu jelas bertentangan dengan perlembagaan parti dan ia selayaknya dihukum.

Namun bagi, Naib Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim, beliau mengambil pendekatan tidak mahu mencampuri urusan pemimpin tertinggi sebaliknya memilih untuk terus memberi fokus kepada ahli dan rakyat di peringkat bawah.

“Bagi saya Nazri Aziz sebagai pemimpin yang matang dalam UMNO biarlah dia dan MT lain yang menentukan nasib Muhyiddin dan Muhkriz. Kami di bawah menghormati segala keputusan, malah isu yang berlaku ini sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukan UMNO,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...