TERKINI :

Friday, May 27, 2016

Teori taawun pemuda Pas separuh belut separuh ular?

SINGGUNGAN


Sebuah portal berita melaporkan Ketua Pemuda Pas mengesahkan yang RUU persendirian yang dibawa oleh presiden Pas untuk meminda Akta 355, diterima oleh Parlimen semalam akan digunakan sebagai modal kempen dalam dua pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Modal itu akan digunakan oleh Pas dan juga Umno.

Ketua Pemuda itu yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, mengesahkan "kejayaan" usul berkenaan dibaca untuk kali pertama di Parlimen adalah hasil kerjasama erat antara Pas dengan Umno.

Usul berkenaan sebagai perca tanda terasminya "taawun" di antara Pas dengan Umno dalam hal-hal berkepentingan bersama khasnya agama. Kejayaan atau bentuk taawun itu bagaimana pun kalau mengikut dakwaan oleh beberapa pemimpin Pas ia tidak akan membawa kepada kerjasama politik. Ertinya Pas dan Umno tidak akan berkolaborasi dalam pilihan raya.

Mereka hanya setakat duduk sepentas dan berbaju sedondon sahaja tetapi tidak akan masuk ke dalam kamar tidur. Walaupun ada pihak meramalkan kerjasama itu akan "mendalam", hingga ke peringkat politik semisalnya membahagikan kerusi, tetapi ada pengikut Pas yang keras menafikan malahan beranggapan ramalan berdasarkan senario itu sebagai fitnah. Orang cuba membuat spekulasi itu dianggap sebagai jahat dan khianat.

Kalau benar begitu, untuk apa taawun itu? Apakah dengan hanya bertaawun dalam hal-hal tertentu dan tidak membawa kepada kerjasama politik, ia akan mencapai maksud dan matlamat yang dihajati. Apakah kita akan sampai ke destinasi yang dituju kalau kita naik bas yang sampai separuh jalan?

Taawun sebegitu boleh dianggap sebagai "separuh masak" dan ia jelas tidak semantap taawun Pas dizaman Mohd Asri Muda sebelum ini yang membawa kepada kerjasama politik antara Pas dengan Umno menerusi Barisan Nasional. Ertinya Asri lebih praktikal dan waras dalam aksi politiknya. Asri lebih berani, telus dan bertanggungjawab.

Taawun yang cuba dibawa oleh Pas kini adalah taawun separuh jalan. Keadaan sebegitu samalah tawwun itu seperti haiwan separuh ular separuh belut yang sukar untuk dikenali. Atau ia boleh diibaratkan sebagai taawun "amfabia", yang boleh hidup dalam dua alam; satu segi bermusuh dengan Umno dari sisi lain berpelukan dengan Umno. Seperti Salentia.

Apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti jika mengikut ketua pemuda Pas itu mengesahkan hakikat itu. Di pilihan raya berkenaaan Pas akan meletakkan calonnya manakala Umno juga sudah tentu meletakkan calonnya untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.

Seperti akui ketua pemuda Pas itu, Pas dan Umno sama-sama akan menggunakan RUU persendirian atau Hudud sebagai modal dalam pilihan raya. Kita kurang faham dengan teori dikemukakan oleh ketua pemuda ini yang akan berkempen menggunakan modal sama untuk meraih kemenangan masing-masing. Tidak reti sungguh?

Pelik dan ajaib perkara ini. Pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar boleh konfius dengan teori ketua pemuda Pas itu. Pengundi akan bingung untuk menilai Hudud siapa yang benar dan tidak kelak. Pengundi terkeliru siapa sebenarnya memperjuangkan Hudud, Pas atau Umno. Atau kalau mereka sama-sama memperjuangkan Hudud fasal apa berlawan di antara satu sama lain?

Atau apa yang beliau maksudkan Umno dan Pas hanya bekerjasama dalam Parlimen sahaja untuk membolehkan RUU bagi meminda Akta 355 itu dibaca di Parlimen. Setakat itu sahaja. Manakala di luar mereka ada cara tersendiri? Dan ini juga dinamakan politik baru yang digagaskan oleh pemuda Pas?

Jika ia sama-sama membawa maksud perjuangan sama dan mempunyai iltizam dalam agama, untuk apa keduanya berlawan antara satu sama lain. Adalah tidak bijak dan membazir masa sahaja kalau hanya berpakat di luar parlimen tetapi tidak sebulu dalam pilihan raya. Ia memeningkan kepala orang Melayu dan Islam. Semolek-moleknya kalau Umno dan Pas ssudah bertaawun mengenai hal itu, mereka juga perlu bertaawun dalam politik.

Yang baik dan rasional bagi ketua Pemuda Pas ialah mencadangkan kepada kedua-dua parti itu agar berpakat menghadapi pilihan raya berkenaan. Beliau boleh mencadangkan agar Umno bertanding di Kuala Kangsar manakala Pas bertanding di Sungai Besar. Dengan pembahagian kerusi itu baharulah modal RUU itu digunakan tanpa mengelirukan pengundi. Cadangan begini lebih munasabah dan jelas daripada apa yang dinyatakan itu.

Tidak tahulah kalau ketua pemuda parti agama itu ada teorinya tersendiri dan cara itu adalah politik baharu yang dibawanya. Atau pun Pas bertanding dikedua-dua kerusi berkenaan bukan sangat untuk memenangi kerusi tetapi untuk mendapat KEREDHAAN Allah. Bagi Pas sekiranya kerusi itu berjaya dipertahankan Umno ia sudah dianggap sebagai kemenangan.

Jadi Pas menyertainya, seperti mana dikatakan kebanyakan pemerhati yang juga bingung dengan cara Pas, ia adalah bagi memberi jalan kepada Umno menang mudah. Kerana apabila Pas meletakkan calonnya di kedua-dua pilihan raya itu ia akan memecahkan undi yang akan dipungut oleh lawan sebenarnya BN daripada Pakatan Harapan. [wm.kl.1:40 pm 27/05/16]

Mohd sayuti Omar

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...