TERKINI :

Friday, May 27, 2016

Sungai Petani - Empat rakan dituduh rompak, samun bersenjata

Empat rakan dituduh rompak, samun bersenjata


SUNGAI PETANI - Empat rakan dihadapkan ke Mahkamah Sungai Petani, di sini, atas tuduhan merompak dan samun bersenjata di sekitar Sungai Petani, di sini, hari ini.

Dua daripada empat rakan didakwa Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas tuduhan bersama melakukan rompakan di hadapan hakim, Saiful Bahari Adzmi.

Mengikut pertuduhan, dua remaja lelaki berusia 18 tahun dituduh melakukan rompakan ke atas harta milikan Hock Lian Eng, 45.

Kedua mereka dituduh melakukan kesalahan yang sama di sekitar kawasan Kenari Jaya 1, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi, 21 April lalu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua remaja itu akan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh tidak menawarkan jaminan kepada dua remaja berkenaan sejurus pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh.

Bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai bantahan dan menyatakan bahawa ia terpulang kepada budi bicara mahkamah, membenarkan tertuduh dengan jaminan.

Ketika rayuan, tertuduh kedua diwakili Nurliyana Mohd Radzi meminta anak guamnya dilepaskan dengan jaminan dengan mengambil kira masalah kesihatan tertuduh.

Manakala, tertuduh pertama tidak diwakili peguam, pula merayu bahawa dia bekerja sebagai tukang jubin dan mempunyai tanggungan ibu yang sakit.

Selepas mendengar rayuan itu, Saiful Bahari hanya membenarkan tertuduh kedua dilepaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin merupakan ahli keluarga.

Tertuduh kedua juga dikenakan syarat tambahan untuk melaporkan diri di balai polis terdekat dua minggu sekali dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Julai ini.

Dalam pada itu, dua lagi daripada empat remaja itu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata parang.

Mengikut pertuduhan, dua remaja berusia 16 tahun itu didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkawan menggunakan parang dengan mengambil wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa melibatkan kerugian RM2,500.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ke atas dua lelaki warga asing di tepi jalan kawasan perusahaan Bakar Arang, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 27 April lalu.

Untuk kesalahan itu, kedua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua remaja itu akan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, kedua remaja itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Menerima pengakuan itu, Adibah Husna membenarkan setiap tertuduh dilepaskan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin merupakan ahli keluarga.

Tertuduh juga dikenakan syarat untuk melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan bersama ibu atau bapa.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...