TERKINI :

Thursday, May 12, 2016

Singkir Husam, Adakah perpaduan PAS-UMNO makin cerah?

Pemecatan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa minggu lalu, bukan berita mengejutkan kepada pimpinan dan ahli parti itu di seluruh negara serta pemerhati politik.

Ini selepas bekas anak didik allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu dilihat menentang arus kepimpinan parti kedua terbesar orang Melayu pimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ini.

Husam tewas PRU13 kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor di kerusi Parlimen Putrajaya.

Bintangnya dalam PAS semakin pudar selepas kalah lagi dalam pemilihan naib presiden pada muktamar parti itu, tahun lalu.

Jika UMNO mempunyai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai pengkritik utama presiden dalam parti itu, Husam juga memainkan peranan sama dalam PAS.

Kritikan bertalu-talu terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan senada dengan apa yang dilakukan Muhyiddin dan Shafie terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB dan derma peribadi RM2.6 bilion.

Keadaan ini sekali gus menyaksikan pucuk pimpinan PAS tidak lagi mahu ‘mendukung biawak hidup’.

Suatu ketika dulu, ketika zaman Nik Aziz, Husam pernah diramal bakal menjadi menteri besar Kelantan kerana memegang portfolio paling kanan dalam pentadbiran Nik Aziz selain dilihat ada keserasian dengan golongan Anwarisme dalam parti serpihan UMNO itu.

Kini segalanya berubah dan apabila UMNO dilihat menginjakkan landasan perjuangan kepada perjuangan berteraskan Islam dan Melayu, majoriti orang Melayu mengimpikan perpaduan antara dua parti terbesar orang Melayu ini.

Husam antara pemimpin utama PAS yang menentang sebarang usaha perpaduan PAS-UMNO dan golongan ini yang digelar sebagai PAS Progresif akhirnya, lenyap dalam Muktamar ke-61 tahun lalu.

Diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, golongan ini membentuk parti pembangkang baharu dikenali sebagai AMANAH dan membentuk jalinan pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan bersama PKR dan DAP.

Bagaimanapun, Husam tidak mengikut jejak langkah meninggalkan PAS untuk bersama dengan AMANAH atau PKR seperti Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar.

Sebaliknya memilih untuk kekal dalam parti berkenaan dan meneruskan kritikan terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan di bawah pemerintahan Datuk Ahmad Yakob sebagai menteri besar baharu.

Tanpa jawatan dalam pentadbiran kerajaan PAS Kelantan, Adun Salor ini dilihat menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Ahmad kerana kerap bertindak sebagai pembangkang kepada kerajaan.

Padahal peranan itu sepatutnya dimainkan UMNO negeri itu di DUN Cik Siti Wan Kembang itu.

PAS nampaknya tidak lagi mempedulikan karisma yang ada pada Husam. Apa yang penting ialah memastikan survival parti itu pada PRU14, apabila dilihat mempunyai ‘hubungan’ mesra dengan UMNO sejak kebelakangan ini.

Walaupun amat mustahil menyaksikan UMNO-PAS bergabung membentuk satu parti tetapi strategi politik berkesan antara dua parti ini diramal akan menyebabkan Pakatan Harapan tinggal harapan dalam membentuk kerajaan pusat pada PRU14 nanti.

Itu sebab utama Husam perlu diketepikan. Bukan disebabkan kritikannya terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan tetapi lebih kepada memastikan strategi politik kerjasama tidak rasmi PAS-UMNO berhasil.

Pemimpin berkarisma itu sudah pasti tidak bersetuju dengan strategi PAS untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan akan menentang habis-habisan strategi politik berkenaan.

Ia pasti akan menimbulkan kegusaran dan kekalutan kepada jentera PAS apabila ada pemimpin utama parti itu secara terang-terangan menentang strategi berkenaan sekali gus boleh mengakibatkan PAS hilang kuasa pemerintah di Kelantan.

Apa sekalipun strategi UMNO dan PAS, ia pastinya akan dilihat dengan jelas dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.

Apa yang pasti Husam tidak lagi dalam perkiraan strategi PAS selepas ini, kerana yang lebih penting bagi parti Islam ini adalah survival politik sebagai ‘parti pembangkang’ mesra UMNO.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...