TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

Sg Petani - Baru Tingkatan 5 sudah jadi penyamun, hangpa nak jadi apa sebenarnya nie..???

Pelajar ditahan lepas menyamun

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis selepas didapati terlibat dalam kejadian samun di Taman Patani Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, remaja berkenaan ditahan selepas melanggar sebuah lori semasa dikejar anggota Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM).

CRSM mengejar remaja itu selepas menerima maklumat mengenai tiga lelaki yang menyamun seorang wanita dikenali sebagai Jee Nee, 49, ketika sedang menunggu rakannya dalam kereta di hadapan sebuah rumah.

Ketika itu, remaja bersama dua lagi rakannya itu menunggang dua motosikal mengacukan pisau ke arah mangsa sementara salah seorang daripadanya meluru ke tempat duduk penumpang hadapan melarikan beg dan telefon bimbit.

Beberapa minit selepas itu, rakan mangsa yang ditunggu-tunggu tiba di lokasi kejadian dan dimaklumkan mengenai kes samun terbabit.

Mereka kemudian menghubungi CRSM yang berada berdekatan bagi meminta bantuan.

Difahamkan, anggota CRSM yang menerima maklumat awal terserempak dengan remaja berkenaan sebelum mengejarnya dan sehinggalah suspek terlanggar sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, suspek yang ditangkap diserahkan kepada polis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, remaja berusia 17 tahun itu adalah seorang pelajar di salah sebuah sekolah di daerah ini.

“Barangan samun yang dibuang ke dalam longkang turut ditemui dalam keadaan basah termasuk sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen lain milik mangsa.

"Dua rakan remaja terbabit berjaya melarikan diri,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...