TERKINI :

Saturday, May 21, 2016

Selepas El Nino, Jabatan Bomba bersiap sedia depani La Nina

https://lintvwivb.files.wordpress.com/2016/04/la-nina-watch.jpg?w=650
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersedia sepenuhnya berdepan sebarang kemungkinan bencana alam berikutan fenomena La Nina yang dijangka melanda negara bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata selain aspek keanggotaan, persiapan lain termasuklah menyediakan peralatan dan jentera yang akan digunakan memandangkan fenomena La Nina membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir.

"Dalam berdepan hal ini, kita sudah bersedia dan membuat persiapan sebaiknya terutama dari segi pembelian peralatan khusus dengan menjadikan kejadian banjir besar pada 2014 sebagai panduan.

"Banjir pada waktu itu agak luar biasa...jadi kita lihat semula setiap persiapan logistik dan pada tahun ini, kita membuat beberapa perolehan aset kira-kira RM100 juta untuk pembelian kemudahan dalam berdepan kemungkinan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Kebesaran JBPM kepada 370 penerima di sini hari ini.

Wan Mohd Nor berkata antara aset khusus yang dibeli dari dana tersebut ialah bot, lori serta lebih 200 set generator untuk menyambung bekalan elektrik yang terputus.

Malah, JBPM juga sedia membekukan cuti anggota jika keadaan memerlukan, katanya.

Pada majlis berkenaan, pengiktirafan turut diberikan kepada pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan serta pihak media yang memberi sumbangan kepada JBPM sepanjang tahun lalu.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Mahadi Md Ali menjadi penerima tunggal Bintang Jasa Bomba (BJB), pengiktirafan tertinggi atas sumbangan serta komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sebanyak 16 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk Bernama menjadi antara 275 penerima Pingat Cemerlang Bomba (PCB), pengiktirafan atas jasa serta sumbangan memberi liputan menyeluruh kepada JBPM.

- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...