TERKINI :

Sunday, May 15, 2016

Saya jatuh cinta kepada satu parti tapi tak boleh sebut kerana dalam edah, kata Husam


Adun Salor, Datuk Husam Musa malam tadi mengakui telah jatuh cinta kepada satu parti setelah di"cerai"kan oleh parti asal beliau tetapi tidak dapat umumkan sekarang kerana masih dalam edah.

"Masa dalam edah ni tak boleh sesiapa masuk meminang apa lagi di khalayak ramai macam ni," kata Husam merujuk kepada pelawaan Pengerusi Amanah Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di majlis makan malam Selamatkan Malaysia anjuran Amanah Pasir Puteh di sebuah resort di Tok Bali malam tadi.

Wan Rahim yang berucap sebelum itu mencadangkan supaya beliau segera menyarung sut oren sebagai tanda menyertai Amanah dan meminta sehelai baju berlogo Amanah dihadiahkan kepada Husam.

Seorang peserta makan malam kemudian membawa baju warna oren untuk diserah kepada Husam namun beliau hanya mengambil baju tersebut tapi tidak memakainya.

Dalam ucapannya beliau terus menyatakan belum menerima sebarang surat berhubung pemecatannya dan hanya mengetahui hal tersebut daripada media atau pihak lain.

"Ada orang minta saya merayu, tapi apa yang saya nak rayu kerana kesalahan saya pun sehingga ini tidak diberitahu," kata beliau.

Berkenaan tuduhan beliau juga kononnya menerima rasuah berkaitan balak beliau mencabar mana-mana pemimpin negeri untuk mendedahkan akaun masing-masing untuk dinilai rakyat.

"Datuk Ahmad Yakob, Datuk Nik Amar Abdullah atau mana-mana pemimpin boleh umum akaun bank masing-masing untuk tunjuk kedudukan kewangan masing-masing.

"Saya boleh dedahkan akaun saya, mereka buka akaun mereka, kita tengok berapa banyak duit saya ada sehingga terus menerus buat fitnah," kata beliau.

Berkenaan kempen turunkan Najib melalui gerakan Selamatkan Malaysia, beliau yakin sokongan besar akan diberi oleh rakyat.

"Sekarang dah dapat 1.27 juta tandatangan dan kita akan serah kepada Yang Dipertuan Agong dan selepas ini kita akan menggerakkan banyak lagi usaha sehingga gerakan ini menjadi kenyataan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...