TERKINI :

Thursday, May 5, 2016

Ridhuan Tee patut serang kerajaan UMNO BN, bukannya Melayu

Abdullah-Zaik_Ridhuan-Tee_600
PETALING JAYA: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berpendapat, penceramah kontroversi Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah tidak patut menyerang orang Melayu demi memperjuangkan kepentingan mualaf.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Ridhuan sepatutnya menyasarkan kerajaan atau agensi terbabit yang memberi layanan berat sebelah kepada mualaf supaya pembetulan dapat dilakukan.

“Saya bersimpati dengan beliau. Saya setuju dengan beliau dalam isu yang nak dibangkitkan iaitu layanan kepada mualaf. Cuma beliau agak beremosi…beliau tidak patut serang Melayu.

“Beliau patut tujukan serangan kepada kerajaan UMNO atau agensi berkenaan supaya dapat buat pembetulan,” katanya kepada FMT semalam.

Sebelum ini, Ridhuan menerusi kolum mingguannya di akhbar Sinar Harian menyuarakan kekecewaannya terhadap golongan mualaf yang tidak mendapat tempat atau bantuan sewajarnya, kerana orang Melayu lebih mengutamakan kaum dan diri sendiri melebihi persaudaraan Islam.

Katanya, beliau sedih melihat organisasi Islam dipenuhi orang Melayu, seolah-olah tiada Cina, India, Orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak.

Sehubungan itu, Ridhuan berharap akan ada orang Cina Muslim yang diberi peluang memimpin parti Melayu, seperti PAS dan UMNO kelak.

Menerusi kolumnya itu juga, Ridhuan mengingatkan bahawa jika bukan kerana pendakwah Cina dan India yang menyebarkan Islam ke negara ini, mungkin masih ada orang Melayu yang menyembah pokok.

Abdullah Zaik berpendapat, kenyataan Ridhuan itu boleh menyinggung perasaan orang Melayu.

“Walhal masalah dengan pihak tertentu sahaja. Kalau nak kira, orang Melayu pun tersinggung dengan pemerintahan UMNO atau sesetengah agensi yang berkhidmat bukan sebenarnya berdasarkan kaum tetapi lebih kepada politik kepuakan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...