TERKINI :

Thursday, May 12, 2016

PRK Sungai Besar: PAS janji tidak akan serang BN

PETALING JAYA: PAS berjanji tidak akan menggunakan teknik menyerang UMNO dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar nanti, kerana ia tidak mampu menarik pengundi Melayu menyokong parti Islam itu.

Ini kerana, kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, rakyat sedia maklum UMNO dan BN sedang dibelenggu pelbagai kemelut sehingga tidak lagi diyakini rakyat.

Katanya, tindakan terbaik PAS ialah menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa parti Islam itu akan berjuang untuk membawa keadilan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kempen perlu dilakukan secara berhemah dengan menampilkan mesej PAS sebagai parti Islam yang memperjuangkan keadilan untuk semua. Jangan gunakan gaya menyerang UMNO dan BN kerana ia tidak banyak membantu menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Semua sudah maklum keadaan dan imej UMNO serta BN yang sedang merudum di mata masyarakat yang penting bagi calon PAS dan petugas menampilkan akhlak terbaik bagi memenangi hati-hati pengundi,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, PAS juga perlu menurunkan calon yang mempunyai latar belakang akademik yang baik bagi menarik sokongan pengundi. FMT

“Di Sungai Besar, PAS perlu mengemukakan calon yang mempunyai beberapa merit antaranya latar belakang akademik yang baik, anak tempatan yang mempunyai keluarga besar dan juga mempunyai nama dan kredit di kalangan masyarakat yang pelbagai. Ini sebagai kredit kepada sokongan berasaskan dasar perjuangan parti,” katanya.

Kerusi Sungai Besar kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak Khamis lalu.

Tarikh hari penamaan dan hari pengundian PRK Sungai Besar dijangka diumum esok.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...