TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

PRK Sg. Besar & Kuala Kangsar : Cina mahu undi siapa?

http://4.bp.blogspot.com/-PFD1hZCKoYw/UWJpqJU8LYI/AAAAAAAAC7g/UReAD6OyapM/s1600/Pengundi,+Anggota+polis+berbaju+hujandi+hadapan+pintu+masuk+untuk+memastikan+pengundi+dan+mereka+yang+dibenarkan+oleh+SPR+memasuki+pusat+membuang+undi.jpg

PILIHAN Raya Kecil (PRK) yang diadakan secara serentak di dua kawasan Parlimen pada 18 Jun ini bakal menyaksikan suasana politik baharu di negara kita.

Apa tidaknya, inilah PRK yang pertama kali membabitkan Amanah yang kebanyakan terdiri daripada bekas pemimpin-pemimpin dan akar umbi Pas. Pakatan Rakyat sudah terkubur dan digantikan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah membolehkan rakyat mempunyai satu lagi alternatif baharu.

Dengan erti lain, pakatan pembangkang kali ini akan lebih bercelaru dengan pendirian Pas yang menyokong PKR tetapi tidak pada DAP dan Amanah. Dan parti yang terus tersepit dalam 'cinta tiga segi' ini sudah tentulah PKR yang perlu mengambil hati DAP dan Amanah dalam menentukan calon bagi PRK di kedua-dua kawasan Parlimen ini.

Beberapa hari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat menentukan tarikh penamaan dan hari mengundi, beberapa pemimpin DAP, Pas, Amanah dan PKR sudah pun bersuara menyatakan pendirian masing-masing.

Sehinggakan Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad terpaksa menegaskan tiada lagi kenyataan akan dikeluarkan oleh pimpinan parti mengenai PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan kelak.

Belum berperang dengan musuh, sudah pun bertelagah sesama sendiri. Itulah gambaran yang paling tepat untuk menunjukkan betapa seriusnya perbezaan pendapat antara keempat-empat parti pembangkang ini.

Sama ada Pas akan tanding seperti dalam PRU lalu ataupun Amanah akan turut masuk gelanggang menentang BN masih belum dipastikan. Kini terletaklah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk mencatur strategik dalam usaha merampas kedua-dua kerusi Parlimen itu daripada tangan BN.

Mengikut rekod, kedua-dua Parlimen ini, iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang dimenangi BN pada PRU 13 bukanlah kemenangan yang boleh dianggap besar apabila masing-masing memperoleh majoriti sebanyak 399 dan 1.082 undi.

Allahyarham Noriah Kasnon menang di Sungai Besar dengan memperoleh undi 18,695 mengalahkan calon Pas, Mohamed Salleh M Husin yang meraih 18,296 undi. Manakala Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menang  di Kuala Kangsar mendapat 14,218 mengalahkan calon Pas, Khalil Lim Abdullah (13,136) dan seorang calon Bebas, Kamilia Ibrahim (447).

Berdasarkan keputusan PRU lalu, BN tidak mampu meraih kemenangan besar disebabkan kerjasama yang kuat ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat ketika itu. Kedua-dua calon Pas mendapat undi yang agak banyak daripada pengundi Cina atas bantuan DAP.

Di Sungai Besar, peratusan pengundi Cina adalah 30.68 peratus ataupun 13,142 daripada 42,836 jumlah keseluruhan pengundi, manakala di Kuala Kangsar, peratusan Cina pula juga hampir 25 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi 33,277. Oleh itu, tidak dapat dinafikan undi Cina menjadi faktor penentu kemenangan BN di kedua-dua Parlimen pada PRU lalu.

 Namun dalam PRK kali ini, keadaan ini sudah pastinya berbeza. Sekiranya Pas bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen ini, kelibat DAP dijangka tidak akan kelihatan. Sebaliknya, DAP akan menggerakkan jentera partinya sekiranya Amanah bertegas turut serta yang memungkinkan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara BN, Pas dan Amanah.

Pengaruh DAP tetap kuat di kalangan masyarakat Cina. Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak. Begitu jugalah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pas dijangka tidak akan menerima sambutan yang baik daripada pengundi Cina kerana sudah 'bermusuh' dengan DAP.

Selain tidak mendapat sokongan daripada DAP, Pas juga dipercayai akan mengalami kekurangan undi daripada masyarakat Cina disebabkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sejak akhir-akhir ini kerap mengeluarkan kenyataan lebih mirip 'berbaik-baik dengan BN dan Najib'.

Jika Cina tidak mahu undi Pas, apakah mereka akan undi BN? Soal ini masih sukar dijawab. Sentimen Cina yang masih terbawa-bawa isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion tentunya tidak akan mengundi BN. Jadi, Cina mahu undi siapa sebenarnya?


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...