TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

PRK: PAS kena guna petunjuk PRU 2004 bukan 2013

KUALA LUMPUR: PAS perlu menjadikan keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 2004 sebagai petunjuk kepada kekuatan mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bukannya keputusan PRU lalu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, PAS bertanding bagi pihak Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, berbeza dengan keadaan sekarang di mana parti itu tidak lagi bergabung dengan DAP dan PKR.

“Keputusan PRU ke-13 bukanlah petunjuk yang boleh dipercayai untuk mengukur trend mengundi bagi calon-calon PAS, kerana cerminan yang lebih tepat ialah PRU tahun 2004.

“Calon PAS dalam dua PRK ini tidak akan mendapat undi yang banyak berbanding pada PRU lalu, kerana PAS telah mengesampingkan segmen pengundi yang signifikan di kedua-dua kawasan dan sudah bukan lagi parti komponen Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada PRU 2013, PAS hanya kalah tipis pada calon BN, dengan kekurangan 339 undi di Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar.

Ia jauh berbeza pada PRU 2004, di mana PAS kalah dengan kekurangan 7,349 undi di Sungai Besar dan 5,557 undi di Kuala Kangsar.

Justeru, beliau mengingatkan PAS agar mengambil kira perbezaan dua keputusan PRU tersebut jika ingin menang dalam dua PRK yang akan berlangsung pada 18 Jun ini.

“Ia lebih relevan berbanding angka-angka pada PRU 2008 dan 2013, dan harus diambil kira jika objektif utama adalah untuk mempertimbangkan cara terbaik bagi memenangi PRK ini dan terus memberi tekanan kepada Najib,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Beliau turut memaklumkan, Majlis Presiden Pakatan Harapan belum membuat keputusan berhubung kedua-dua PRK tersebut, terutama soal meletakkan calon.

Beberapa pemimpin PAS, antaranya Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria sebelum ini mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak bertanding di sana, memandangkan ia adalah kerusi tradisi PAS dan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...