TERKINI :

Wednesday, May 25, 2016

PRK medan perang rakyat lawan Najib - Mahfuz

PETALING JAYA: Penolakan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sangat penting bagi memberi isyarat bahawa rakyat sudah tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian dengan menyifatkan PRK yang diadakan kali ini sangat bererti untuk menunjukkan kuasa rakyat yang mampu membentuk satu lanskap baharu dalam arena politik negara di sebalik hakikat bahawa ia bukanlah pilihan raya yang boleh menukar langsung kerajaan yang memerintah negara.

“Negara dan rakyat meletakan pengharapan besar kepada pengundi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar atas nama demi Malaysia untuk menolak calon Najib dari UMNO/BN yang akan bertanding dalam PRK pada 18 Jun ini.

“Bagaimana dan siapa perlu dipilih itu adalah kebijaksanaan pengundi yang memilih. PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah ibarat satu medan peperangan antara rakyat dan Najib,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahfuz turut berkata rakyat perlu menolak BN kerana calon daripada parti itu tentunya akan mempertahankan dasar kerajaan dan skandal 1MDB yang membebankan rakyat.

“Siapa pun calon UMNO/ BN dia adalah pecacai dan penjilat Najib yang akan menentang kuasa rakyat. Calon Najib akan terus pertahan dan lindungi Najib bukannya lindungi rakyat dan pertahankan negara.

“Calon Najib akan tetap pertahan Najib, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), tol , rasuah, penyelewengan , salah guna kuasa dan sebagainya. Calon Najib akan pertahankan RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib itu tak salah.

“Calon Najib akan pertahankan Najib dan 1MDB bukan sindiket penipuan walaupun negara dan rakyat atas nama 1MDB kehilangan wang berpuluh bilion ringgit Malaysia,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...