TERKINI :

Thursday, May 19, 2016

Politik simplistik Nik Amar tidak untungkan Pas

Pemangku MB Kelantan
Penganalisa dan pemerhati politik yang baharu pertama kali mendengar atau mengikuti bagaimana cara Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar) berpolitik (mengeluar kenyataan dan pandangan) mungkin menganggap beliau seorang ahli politik moden yang canggih. Memang bagi generasi baharu suka cara politik "berus" Nik Amar.

Sebaliknya mereka yang sudah lama mengikuti pemangku MB Kelantan ini berpolitik, atau mengikuti kenyataan politiknya yang simplistik serta menilai sejauh mana ilmu siasahnya akan tersenyum panjang dan tidak berasa apa-apa kepelikan kepada apa yang berlaku. Itulah bahasa politik Adun Panchor ini.

Kenyataan berupa kritikan Nik Amar kepada kumpulan serpihan Pas yang kini telah menubuhkan Parti Amanah Negara, dalam satu majlis taklimat, sesuatu yang dikesalkan dan menggambarkan tahap tinggi rendah dan dalam tohor cara Nik Amar berpolitik. Karisma dan intelektuasiti politiknya tergambar dalam tingkah laku dan kenyataan politiknya seperti itu.

Dalam usaha beliau menyerang Amanah bagi memastikan penyokong Pas dan rakyat Kelantan tidak memberi perhatian kepada kewujudan Amanah, Nik Amar telah memberi amaran (berupa ugutan - predection) awal-awal lagi dimana sekiranya Pas kalah di Kelantan dalam pilihan raya akan datang, kekalahan itu ialah disebabkan Amanah. Amanah bertanggungjawab atas keruntuhan kerajaan peninggalan Tokguru Nik Aziz.
Beliau membuat terjemahan dan definasi tujuan Amanah menyertai pilihan raya menyebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru, antara Pas, Umno dan Amanah, adalah satu strategi yang sengaja dilakukan Amanah untuk mengalahkan Pas? Begitu bacaan buruk Nik Amar dalam menghadapi risiko itu. Apakah sejauh itu busuk dan cemarnya Amanah kepada Pas, sedang sebahagian mereka dalam Amanah itulah yang berperang dengan Umno selama ini bagi memastikan kelangsungan Pas memerintah Kelantan.

Paling mengejutkan, Nik Amar juga meletakkan tanggungjawab itu kepada Amanah sehingga parti itu kena menjawab di hadapan Allah di Mahsyar kelak. Bagi Nik Amar, Amanah adalah pengkhianatan dan kewujudan dan peranannya tidak ada setitik pun kebaikan. Tidak perlu beliau mendoktrinkan ahli begitu jauh sekali, seolah-olah Pas bebas daripada dosa dengan Allah.

Indah dan mantap mendengar kenyataan ataupun ulasan Nik Amar itu. Ia memberi tafsiran kepada umum bahawa kekalahan itu kelak, sedikit pun bukan di atas "keagahan" dan kebabilan Pas dalam berhadapan dengan Umno. Kenapa dikatakan begitu, kerana Amanah telah lebih sekali menawarkan diri untuk bersama Pas mempertahankan kerajaan peninggalan Tokguru, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Pas, khasnya Nik Amar. Bahkan tawaran dibuat oleh Amanah itu dipersenda-sendakan dan diperolok-olokkan oleh Nik Amar. Amanah dilihat lebih "beruk" daripada Umno.

Malahan dengan tegas dan "action" beliau mengatakan Pas sedia kalah daripada berpakat dengan Amanah. Itu sebuah kata-kata yang sombong dan bongkok tidak seharusnya keluar dari kerongkong ahli politik yang sepatut berlunak sepanjang masa. Kalau pun Amanah tidak dapat memberi secerbis kebaikan, tetapi kehadiran dari rahim demokrasi perlu dihormati.

Cara Nik Amar berpolitik sangat simplastik dan suka memberi jawaban-jawaban, menyalahkan orang lain dan menganggap diri sendiri maksum. Cara dan tindakan Nik Amar juga jauh daripada perangai dan fiil seorang ahli politik sejati yang bertolakansur, berdiplomasi, merendah diri serta penuh berstrategik.

Alangkah rugi dan kecewanya ahli dan penyokong Pas kalau pegangan dan "tahuid politik" Nik Amar itu diterima pakai oleh Pas Kelantan. Menerima apa yang ditegaskan sebagai satu fatwa politik. Biarlah apa yang diucapkan Nik Amar itu bersifat peribadi dan datang dari egonya seorang yang berasakan dia seorang keturunan di Raja dan suka merendah-rendahkan orang lain dengan konotasi-konotasi pandirnya.

Cara Nik Amar itu sangat jelas bahawa beliau sudah berdendam dengan Amanah. Kenyataan beliau itu juga seolah-olah beliau yakin bahawa kedudukan Pas Kelantan tidak akan terjejas dan akan menang seterusnya dapat mempertahankan kerajaan pesaka Nik Aziz.

Disebalik sikap ego tinggi Nik Amar itu, yang sedikit pun tidak berasakan bimbang dengan kehadiran Amanah, apakah beliau sudah ada perkiraan dan agenda politik lain untuk menyelamatkan kerajaan Kelantan? Apakah beliau sudah membuat perkiraan politik diluar jangka ahli dan penyokongnya; bahawa beliau akan membawa Pas berkerjasama dengan Umno dan hal itu akan diumumkan disaat akhir nanti? Dan ini juga rahsia yang digenggam bersama ahli MSU Pas?

Jika mengikut kenyaataan Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed, kerajaan Kelantan sudah dua tahun berkejasama (tak'wun) dengan kerajaan Pas Kelantan. Apakah permulaan itu akan berakhir dengan Pas dan Umno bergabung dengan cara pembahagian kerusi dalam pilihan raya akan datang?

Jika dilihat kepada kenyataan dan cara Nik Amar berpolitik ia terarah dan ada kecenderongan ke arah itu. Beliau tidak begitu rungsing Pas akan kehilangan kerajaan kerana Umno sedia membantu atau akan bekerjasama. Begitukah? Namun apabila ini disebut maka adalah ahli yang marah dan menganggap ianya fitnah. Dan sekiranya perkara ini benar Pas tidak perlu berselindung dan baik berterus terang sahaja. Rakyat Kelantan yang tidak berparti akan menyokong kerjasama ini. Manakala ahli dan penyokong parti pula mudah untuk membuat perhitungan.

Untuk peringatan Nik Amar, beliau jangan sedap dan lena sangat dengan janji-janji politik. Harapan jangan ditaruh bergitu tinggi yang Umno akan membantu dan bekerjasama dengan Pas termasuk dalam pilihan raya. Umno adalah umpama jerat yang tidak pernah melupai pelanduk. Sebagai jerat Umno sedia mengambil dan menerima apa sahaja umpan untuk mempesonakan si pelanduk. Apa yang utama baginya si pelandu masuk ke dalam jeratnya.

Kepada Nik Amar daripada mengeji dan menghina Amanah demikian rupa, adalah lebih afdal untuk beliau membentang apa-apa agenda atau misi Pas dan kerajaan Pas di Kelantan. Sehingga ini tidak ada apa-apa pun yang disebut Nik Amar mengenai Kelantan yang menyedapkan telinga mendengarnya. Baik beliau mengumumkan progres bantuan untuk mangsa banjir daripada menajamkan terus serangan kepada Amanah. [wm.kl.12:23 pm 16/05/16]

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...