TERKINI :

Saturday, May 28, 2016

Polis akan panggil Adun dakwaan kes pukul

PDRM

ALOR SETAR - Polis Kedah akan memanggil seorang Adun negeri ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan memukul seorang lelaki pada 15 Mei lepas yang kini menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya telah memanggil pengadu awal pagi tadi, yang mendakwa dipukul oleh beberapa individu termasuk Adun itu di hadapan sebuah kompleks membeli-belah Aman Central di sini.

Beliau berkata, pihaknya belum mengenal pasti suspek yang dipercayai memukul pengadu yang dikenali sebagai Alif Adam, sama ada Adun berkenaan atau individu lain.

"Kami tidak tahu siapa dalam video yang memukul pengadu dan kami sedang siasat kes tersebut. Kami telah menghubungi Adun berkenaan dan mungkin beliau beri kenyataan berhubung kes itu esok," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya pengadu membuat laporan polis pada hari kejadian dan tidak mengenali Adun itu sehingga kes tersebut menjadi viral dalam laman sosial Facebook.

Mohd Rozi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 5.45 petang pada 15 Mei lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Alif Adam mendakwa beberapa individu bertindak menariknya keluar dari kenderaan sebelum dipukul oleh beberapa lelaki.

Dakwanya dalam laman sosial Facebook, teman wanitanya yang mahu meleraikan pergaduhan itu turut mengalami kecederaan akibat dipukul dan mendapat rawatan di sebuah hospital swasta.

Pergaduhan tersebut dileraikan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum kenderaan yang dinaiki Adun itu beredar dari tempat kejadian.

Video berdurasi 33 saat yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook menjadi viral yang ditonton lebih 200,000 pengguna laman sosial.

Sementara itu Adun berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...