TERKINI :

Tuesday, May 3, 2016

PERKASA tolak alasan Kerajaan NAJIB hentikan polis pengiring Dr M


Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA beranggapan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberhentikan khidmat polis pengiring Tun Dr Mahathir Mohamad dengan alasan bagi mengelak kemudahan tersebut disalah guna bagi kempen menentang kerajaan sebagai kenyataan politik.

Sebaliknya, menurut Setiuasaha Biro Integriti, Antirasuah dan Salah Guna Kuasa PERKASA, Dr Muhammad Faiz Na'aman, alasan itu diberikan selepas Dr Mahathir diiringi oleh sukarelawan konvoi motosikal berkuasa tinggi.

“PERKASA berpendapat ini suatu alasan serta ayat politik pihak kerajaan semata-mata kerana ternyata Dr Mahathir telah pun diiringi oleh sukarelawan konvoi motosikal berkuasa tinggi ketika tiba di lapangan terbang Kepala Batas semalam hingga ke Tesco Stargate akibat ketiadaan polis pengiring rasmi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak minggu lalu, media sosial kecoh dengan berita pemberhentian khidmat polis pengiring kepada Mahathir tetapi sehingga hari ini beluam ada kenyataan rasmi dibuat.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata, khidmat polis pengiring bermotosikal untuk Mahathir sepatutnya ditarik balik sejak dulu lagi.

Kata Nazri yang juga adalah menteri pelancongan dan kebudayaan, khidmat kawalan itu tidak wajar diberikan kepada bekas perdana menteri terbabit kerana tokoh berkenaan diiringi ke majlis memburuk-burukkan kerajaan.

“Pihak Biro Integriti, Antirasuah dan Salah Guna Kuasa (PERKASA) ingin bertanya siapa yang beri arahan supaya khidmat polis pengiring untuk keselamatan Mahathir itu dihentikan?

“Adakah dengan penarikan khidmat tersebut maka majoriti rakyat negara ini akan lebih menghormati kerajaan yang mentadbir negara sekarang?” soal Muhammad Faiz.

Malah menurutnya, umum tahu bahawa dalam usaha Mahathir untuk menyelamatkan imej negara serta kuasa politik Umno-BN, tokoh negarawan itu mendesak supaya Najib meletakkan jawatan kerana terlibat dalam skandal 1MDB yang kini telah mendapat liputan hampir di seluruh dunia sejak tahun lalu lagi.

Dengan kata lain, beliau berkata Mahathir tidak memusuhi kerajaan Malaysia tetapi menggunakan segala ruang dan peluang dalam proses demokrasi negara ini untuk menyuarakan kehendak majoriti rakyat serta kepentingan negara.

“Berdasarkan jasa negarawan tersebut terhadap negara ini dan di peringkat dunia Islam, maka tindakan pihak kerajaan Malaysia menghentikan khidmat polis pengiring untuk Mahathir tersebut dilihat sebagai tidak matang, emosional, bersifat membalas dendam, terdesak serta tidak bermoral.

“Kenapa kerajaan pimpinan Najib bersifat berat sebelah sedangkan khidmat yang sama sedang diberikan kepada seorang lagi bekas perdana menteri?” soalnya.

Penarikan balik khidmat polis pengiring untuk Mahathir turut dipertikai oleh bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Tan Sri Rais Yatim melalui kenyataannya di laman Facebook yang juga tersebar luas di media-media sosial.

"Jika benarlah pengiring PDRM Tun Mahathir ditarik balik, ia merupakan tindakan yang harus dipertikai sebagai tidak berwibawa dan tidak adil.

“Pengiring dan bekalan pegawai keselamatan diberi kepada semua bekas PM bersekali kemudahan lain sebagai penghormatan terhadap jasa. Tun M masih bekas Perdana Menteri Malaysia sia ke-4.

“Jasanya sebagai PM 22 tahun dan 6 tahun sebagai TPM tetap merupakan fakta kenegaraan.”

Rais kemudiannnya memaklumkan bahawa pihak perdana menteri menafikan penarikan balik khidmat polis pengiring untuk Mahathir dan berkata kerajaan hanya menghalangnya daripada menyalahgunakan kemudahan tersebut bagi kempen menentang kerajaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...