TERKINI :

Sunday, May 29, 2016

Pemilihan Mastura sebagai calon BN bakal tingkatkan undi simpati

Analisis Berita

SHAH ALAM - Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pemilihan balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bakal meningkatkan undi simpati buat BN.

Menurut beliau, sebagai seorang individu yang rapat dengan Allahyarham, Datin Mastura Mohd Yazid‎ dilihat dapat memahami lokaliti kawasan Kuala Kangsar serta penduduk setempat di sana.

“Itu beri kelebihan kepada beliau sebagai seorang yang rapat dengan Allahyarham dan pernah turut membantu aktiviti suaminya sebelum ini,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai tempoh edah Mastura, Sivamurugan berkata bagi peringkat ini, jentera parti harus memainkan peranan dengan menunjukkan bahawa kemampuan serta kewibawaan calon yang dipilih perlu diberi keutamaan untuk menggantikan Allahyarham.


Sivamurugan berkata, walaupun Mastura tidak dapat mengikuti kempen PRK berikutan masih dalam tempoh edah, ia menunjukkan bahawa beliau mengutamakan kepentingan agama sebagai seorang balu.

“Dalam konteks kempen kali ini yang diadakan dalam bulan puasa, ia dapat mengurangkan keghairahan mereka untuk berkempen dan melakukan pembunuhan karakter,” katanya.

Menurut beliau, PRK Kuala Kangsar kali ini dilihat akan memberi kelebihan buat BN tambahan lagi sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru.

Tambahnya, buat masa ini adalah BN seharusnya meminimumkan sabotaj dalaman terutama bagi mereka yang tidak dipilih sebagai calon untuk mewakili parti dalam PRK kali ini.

“Penyokong harus dipujuk untuk menyatakan sokongan kepada balu Allahyarham agar tidak menganggu proses kelicinan jentera parti,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...