TERKINI :

Monday, May 2, 2016

PANAS | Punca air di Empangan Bukit Merah susut dikenalpasti..!!

Pencerobohan hutan punca air Empangan Bukit Merah susut

BAGAN SERAI: Pencerobohan kawasan hutan simpan seluas kira-kira 500 hektar di sekitar kolam takungan Bukit Merah dipercayai menjadi satu daripada punca takungan air di Empangan Bukit Merah terjejas.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pencerobohan kawasan terutama di Kampung Selamat serta Hutan Simpan Pondok Tanjung itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu dan digunakan untuk kegiatan pertanian.

“Fungsi zon penampan ini untuk menyimpan air pada musim kemarau dan apabila Empangan Bukit Merah menyusut, air dari sini akan mengalir ke dalam kolam takungan.

“Pencerobohan menyebabkan ekosistem, pemendapan di dasar tasik menjadi cetek dan apabila hujan lebat ia menyebabkan banjir kerana pokok yang menjadi penampan air telah ditebang,” katanya selepas meninjau kawasan pencerobohan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) semalam.

Empangan Bukit Merah menjadi sumber air tanaman sawah padi seluas 22,000 hektar di daerah Kerian dan membekal air minuman kepada lebih 200,000 penduduk termasuk keperluan industri di Kamunting, Taiping.

Menurut Noor Azmi yang juga Pengerusi Pembangunan Pertanian Parlimen Bagan Serai, langkah pembenihan awan dan menaik taraf kolam Bukit Merah hanya sia-sia jika pencerobohan itu tidak diatasi.

“Saya telah mohon kepada kerajaan untuk menjadikan kawasan hutan simpan ini sebagai tapak ramsar untuk pemulihan alam sekitar sekaligus mengekalkannya sebagai kawasan tadahan,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Rahman berkata, terdapat beberapa tempat di Pondok Tanjung dan Kampung Selamat yang sebelum ini menjadi punca bekalan air ke kolam Bukit Merah telah diceroboh.

“Kebanyakan kawasan yang diteroka ialah rizab tasik Bukit Merah yang menjadi zon penampan simpanan air,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kira-kira 1,400 hektar hutan simpan Pondok Tanjung telah dinyahwartakan untuk ternakan kambing Boer.

– BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...