TERKINI :

Friday, May 20, 2016

Pakar arkeologi dunia berkumpul di Kedah Sabtu ini

Kedah Tua

KUALA LUMPUR - Pakar sintesis kajian DNA terkemuka Prof Dr Stephen Oppenheimer dari University Oxford, United Kingdom adalah antara 29 pakar arkeologi dunia yang akan membincangkan mengenai Kedah Tua di Sungai Petani, Kedah selama dua hari mulai Sabtu ini.

Oppenheimer, 69, yang juga ahli genetik dan penulis, pakar yang diiktiraf dunia dalam sintesis kajian DNA dengan bukti arkeologi dan lain-lain untuk menjejaki migrasi purba, akan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kepentingan Semenanjung Malaysia semasa Prasejarah dan Peradaban' sempena penganjuran Persidangan Antarabangsa Kedah Tua.

Persidangan itu anjuran Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR) Universiti Sains Malaysia (USM), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri Kedah, Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).

Ia bertujuan mengetengahkan Kedah Tua dan kepentingannya dalam rantau Asia Tenggara serta arkeologi global.

Persidangan yang diadakan bersempena Festival Kedah Tua 2016 (FKT2016) itu juga akan memberi tumpuan terhadap kepentingan arkeologi di Lembah Bujang dan membuat perbandingan antara semua tamadun utama dunia dari abad keenam Sebelum Masihi hingga abad ke-12 Masihi.

Pengarah CGAR USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata persidangan itu akan tertumpu kepada peranan dan sumbangan Sungai Batu dalam pembangunan tamadun utama dunia iaitu Mesopotamia, Mesir, Indus, China, Mesoamerica dan Greek Rome.

Beliau yang turut terlibat dalam penganjuran persidangan itu akan membentangkan beberapa kertas kerja termasuk mengenai Kerajaan Kedah Tua berikutan pertemuan bukti baharu di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Kedah.

Tapak arkeologi Sungai Batu terletak di ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Petani.

Mokhtar berkata persidangan itu diadakan buat kali pertama selepas sembilan tahun penyelidikan dijalankan di tapak Sungai Batu yang telah dibuktikan kewujudannya bermula sejak 535 Sebelum Masihi sehingga kurun ke-17 Masihi.

"Perakuan itu dibuat oleh makmal pentarikhan radiokarbon beta-analytic Florida, Amerika Syarikat pada November 2015 selepas menjalankan analisis ke atas arang leburan besi yang ditemukan di tapak Sungai Batu," katanya kepada Bernama di sini. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...