TERKINI :

Thursday, May 5, 2016

Mengakulah.. Penamatan Polis Pengiring Tun M Semata-mata Kerana Deklarasi Rakyat..!!

Shahbudin Husin,
 
Seperti yang disebut semalam oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, akhirnya Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar tampil menjelaskan sebab-sebab khidmat polis pengiring ke atas Tun Mahathir Mohamad ditarik balik.

Katanya, keistimewaan kepada bekas Perdana Menteri itu ditarik balik kerana Tun Mahathir terlibat dalam perhimpunan haram dan anti kerajaan seperti Bersih, membantah GST serta mengumpul tandatangan untuk Deklarasi Rakyat.

Boleh diterimakah hujah-hujah Khalid itu?

Perhimpunan Bersih bila? Perhimpunan anti GST bila?

Tidakkah kedua-dua perhimpunan itu diadakan beberapa bulan sebelum ini?

Tetapi, kenapa baru sekarang khidmat polis pengiring itu ditarik balik?

Terbukti di sini bahawa kebimbangan utama Najib Razak, tetapi dengan menggunakan Khalid untuk bersuara, ialah semata-mata kerana bimbangkan terhadap Deklarasi Rakyat yang sudah mula mendapat sokongan rakyat.

Ternyata tindakan itu diambil ialah untuk mengganggu kelancaran Tun Mahathir pergi ke sana ke mari bagi mengumpul 1 juta tandatangan bagi Deklarasi Rakyat itu.
Apakah mengumpul tandatangan untuk menolak Perdana Menteri yang penuh skandal dan mengadakan majlis berkaitan dengannya sesuatu yang haram dan menyalahi undang-undang?

Bukankah semua program Deklarasi Rakyat selama ini mendapat kerjasama daripada pihak polis, malah sentiasa diadakan dengan mematuhi kehendak Akta Perhimpunan Aman yang digubal oleh Najib sendiri?

Jadi, di mana "haramnya"  kehadiran Tun Mahathir dalam program-program Deklarasi Rakyat itu?

Dalam pada itu, menurut Khalid lagi, keputusan berkaitan penarikan polis pengiring itu adalah berdasarkan kes demi kes dan terkecuali jika Tun Mahathir mahu menghadiri program-program rasmi lain yang tidak bersifat anti kerajaan.

Namun demikian, tambah beliau, bagi mendapatkan khidmat polis pengiring bagi program rasmi itu, Tun Mahathir dikehendaki membuat permohonan kepada dirinya terlebih dahulu.

Wahhh...hebatnya Khalid!!

Maka, selepas ini, jika Tun Mahathir mahu menggunakan khidmat polis pengiring, bermakna permohonan perlu dibuat dari semasa ke semasa.

Bermakna lagi, mungkin bukan saja setiap bulan Tun Mahathir perlu menulis surat kepada Khalid dengan menyenaraikan majlis-majlis rasmi yang akan dihadirinya, bahkan tidak mustahil surat permohonan diperlukan bagi setiap program yang mahu dihadirinya.

Bererti juga, jika sepuluh program yang mahu dihadiri, maka terpaksalah Tun Mahathir menulis sepuluh pucuk surat kepada Khalid.

Bayangkan, begitulah layanan ke atas seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri yang berjasa selama 22 tahun kepada kita serta mengangkat nama negara di pentas-pentas dunia.

Bukankah khidmat polis pengiring itu merupakan keistimewaan kepada Tun Mahathir selaku bekas Perdana Menteri dan tidak ada termaktub program mana yang boleh dan tidak boleh untuk dihadirinya?

Jika menghadiri program yang bersifat anti kerajaan merupakan suatu kesalahan, bagaimana pula dengan polis pengiring  kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang yang setiap hari program dihadiri adalah anti kepada kerajaan Pusat?

Apakah ia masih dikekalkan atau akan ditarik juga selepas ini? (SH 04/05/2016)

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...