TERKINI :

Thursday, May 26, 2016

MCA berang ‘air jampi dewa’ dibekalkan di sekolah rendah


MCA akan membuat aduan terhadap seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Klang kerana didakwa membenarkan "air jampi" untuk diagih kepada pelajar-pelajar sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Klang Tan Bok Koon berkata, beliau mahu Kementerian Pelajaran ‘menggantung’ khidmat guru besar itu sementara siasatan dijalankan.

Beliau juga memberi amaran bahawa akan membuat laporan polis jika perkara itu berulang.

Beliau mendakwa air jampi yang dibekalkan oleh kumpulan yang berpangkalan di Singapura itu mempunyai bacaan mantera dengan tujuan menjadikan pelajar lebih bijak dan mampu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.

"Saya mahu mengkritik tindakan ini kerana sekolah bukan tempat yang betul untuk menyebarkan agama peribadi.

"Jika anak-anak dan guru-guru kita bekerja keras, tetapi kredit diberikan kepada air jampi itu kerana keputusan mereka, ini tidak adil kepada pelajar dan guru," katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA Klang hari ini.

Beliau berkata ini juga akan mengelirukan pelajar untuk berfikir bahawa mereka boleh mencapai keputusan cemerlang tanpa berusaha keras.

Tan berkata beliau telah menyoal lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru selepas menerima aduan berkenaan dan mendapati bahawa kedua-dua kumpulan itu menentang sekeras-kerasnya tindakan guru besar tersebut.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama sekolah, guru besar, dan kumpulan yang berpangkalan di Singapura itu sementara menunggu ulasan mereka.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...