TERKINI :

Monday, May 2, 2016

Masa depan Muhyiddin, Mukhriz sama?

0
Muhyiddin, Mukhriz

KOTA BHARU - Umno akan hilang kredibiliti di mata masyarakat jika tidak segera bertindak memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahlinya kerana jelas tingkah laku mereka merupakan satu perlanggaran besar kepada disiplin Umno.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, telah ada persetujuan di kalangan majoriti pemimpin Umno bahawa tindakan Muhyiddin dan Mukhriz bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri menyebabkan mereka tidak lagi layak berada di dalam Umno.

"Di peringkat Umno negeri, Umno Kelantan dan Umno Melaka umpamanya telah membuat desakan rasmi kepada Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin Umno supaya memecat ahli Umno yang terlibat dengan aktiviti menjatuhkan Perdana Menteri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Begitu juga di peringkat sayap parti di mana perkara yang sama telah diumumkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, membabitkan ahli sayapnya, dan di peringkat Umno Bahagian pun banyak kedengaran desakan serupa.

“30 Mac lalu Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri mengumumkan laporan mengenai tindakan Muhyiddin dan Mukhriz telah dihantar kepada Lembaga Disiplin Umno.

"Sebelum itu, Tengku Adnan juga mengeluarkan larangan kepada ahli Umno supaya tidak menghadiri majlis Himpunan 27 Mac membabitkan pemimpin pembangkang.

“Semua ini memberikan gambaran bahawa tindakan disiplin perlu dan akan dikenakan ke atas Muhyiddin dan Mukhriz, hanya perlu tunggu pengumuman daripada Lembaga Disiplin Umno sahaja," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa Ahli Majlis Tertinggi Umno berhak mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Menurutnya, beliau tidak melihat tindakan disiplin kepada Muhyiddin dan Mukhriz akan menimbulkan kontroversi kerana dari segi substantifnya mereka memang telah melanggar disiplin parti.

Beliau berkata, malah Muhyiddin dan Mukhriz sendiri seakan telah menjangka bahawa mereka akan dikenakan tindakan disiplin, apa yang mereka mahu ialah supaya ia dilakukan mengikut prosedur yang betul sahaja.

"Ini kerana di dalam tata etika ahli Umno jelas disebut bahawa ahli Umno tidak boleh mengkritik pemimpin parti tanpa melalui saluran betul, apatah lagi bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan pemimpin parti.

"Setakat ini, prosedur kelihatan telah diikuti apabila perkara ini dirujukkan kepada Lembaga Disiplin Umno, cuma adalah lebih baik jika mereka diberikan peluang untuk membela diri supaya mereka puas hati.

“Presiden Umno sendiri sejak 6 Mac lagi telah menyebut bahawa beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan disiplin kepada mereka," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...