TERKINI :

Sunday, May 15, 2016

Laporan PAC berkaitan 1MDB telah dipadam, kata Ku Li

Oleh Siti Fatimah Ishak

Tengku-Razaleigh-Hamzah1_L
BANGI, Sabtu – Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh menggesa supaya laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung siasatan mengenai syarikat pelaburan bermasalah,1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diklasifikasikan sebagai ‘rahsia rasmi’ ditukar menjadi ‘untuk tatapan umum’.

Ini berikutan katanya, terdapat dakwaan yang mengatakan beberapa laporan PAC mengenai 1MDB yang akan dibentangkan di dalam Parlimen telah dipadam.

“Ini merupakan perkara penting yang penuh kontroversi. Ia juga berkaitan dengan pemindahan wang yang kononnya dipinjam daripada peminjam antarabangsa dengan cara di luar batasan undang-undang.

“Dengan pemadaman ini, saya risau sama ada Laporan yang akan dibawa ke Dewan Rakyat itu merupakan laporan yang boleh dipertahankan memandangkan ia berkaitan dengan pinjaman wang oleh 1MDB yang kononnya dibuat bagi pihak negara.

“Pemadaman tersebut sebenarnya bukan sahaja di luar batasan undang-undang tetapi merupakan juga pemesongan serius terhadap Seksyen 9(i), (j) dan (n)(iii) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” kata Tengku dalam satu kenyatan di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pemesongan terhadap Seksyen di dalam Akta berkenaan merangkumi pengubahan, salah pembentangan dan penipuan terhadap dokumen yang dibentang di Dewan Rakyat.

“Ini merupakan kesalahan mengikut peruntukan di dalam Akta ini. Ini juga bermakna apa jua pemadaman yang dibuat boleh mendatangkan keraguan di kalangan rakyat mengenai sama ada Laporan tersebut mencerminkan atau tidak akan kebenaran keseluruhan kenyataan mengenai isu 1MDB.

“Saya risau mengenai perkara ini kerana kita semestinya mempertahankan integriti dan kedudukan Dewan Rakyat sebagai sebuah badan di mana Ahli-Ahli Dewan seharusnya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan jujur tanpa mengelirukan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa Laporan Akhir pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara kepada PAC Parlimen Malaysia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Justeru Ku Li berkata, laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai “Rahsia Rasmi” itu perlu diubah kepada “untuk tatapan umum”.

“Saya juga membuat seruan ini kerana mengikut Perlembagaan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebenarnya berhak mendapat Laporan Ketua Audit Negara sebelum Parlimen bersidang pada 16hb Mei, 2016.

“Isu-isu yang dibangkitkan itu amat penting kepada rakyat dan tidak ada sebab kenapa Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

“Saya mengulangi juga keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri supaya Ketua Audit Negara menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil penyiasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...