TERKINI :

Monday, May 16, 2016

Ku Nan tidak nafi rasuah punca banjir kilat di KL

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan tidak menolak rasuah sebagai punca berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk terhadap sub kontraktor serta pegawai penyelia yang seharusnya menyelia kontrak tersebut.

“Kementerian masih belum terima laporan penuh, tetapi saya dimaklumkan kontraktor yang diberikan kontrak menawarkannya kepada pihak lain.

“Kami ada ratusan kontraktor dan sesetengahnya pula mempunyai sub-kontrak yang menguruskan kerja pembersihan dan penyelenggaraan. Kita perlukan sistem yang lebih baik dan saya akan perbetulkan mana-mana kesilapan yang telah berlaku,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Justeru beliau bertegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang menjadi punca kepada berlakunya banjir kilat di ibu negara.

“Saya memohon maaf kepada semua orang yang terbabit dalam insiden banjir kilat dan akan berusaha memperbetulkan masalah ini,” janjinya.

Tengku Adnan juga menambah, pihaknya telah memberhentikan tiga tender yang seharusnya diberikan kepada kontraktor kerana tidak berpuas hati dengannya selain akan menyemak semula sistem itu.

“Buat masa ini tender pembersihan sungai, penyelenggaraan jalan dan juga lampu jalan telah diberhentikan,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agar siasatan dilakukan terhadap projek pembangunan di ibu negara bagi mengesan kemungkinan wujud unsur rasuah oleh agensi pelaksana sehingga menyebabkan banjir kilat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...