TERKINI :

Sunday, May 15, 2016

Kroni Umno didahulukan, pelajar diketepikan, kata Syed Saddiq


Peminjam Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mendapat pembelaan sewajarnya terutama membabitkan pelajar yang gagal melangsaikan hutang, kata Jurucakap Kumpulan Challenger Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian, mengulas dakwaan terkini oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengenepikan notis bankrap seorang Ketua Umno Bahagian Kepong yang dikatakan "Berani Mati" untuk mempertahankan perdana menteri adalah tidak wajar sama sekali.

"Dikalangan pelajar yang buat pinjaman dan gagal membayar balik pinjaman, mereka boleh disenaraihitamkan dan boleh dibankrapkan, serta diugut dan lain-lain lagi.

"Budaya kita sudah berubah apabila pelajar-pelajar tertekan dengan pelbagai masalah pembiayaan pendidikan, pemimpin di atas pula sibuk menyelamatkan diri sendiri daripada tenggelam dalam pinjaman yang mereka sendiri buat.

"Sementara pelajar-pelajar yang meminjam dari PTPTN terhimpit dengan bunga yang tinggi serta elaun sara hidup yang tidak mencukupi.

"Pelajar pula terkapai-kapai mencari sumber untuk meneruskan pengajian apabila penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada lebih kurang 700 pelajar ditamatkan dan peruntukan biasiswa serta dermasiswa dikurangkan, pemimpin di atas giat meletakkan kepentingan kroni melebihi kesengsaraan rakyat," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Saddiq lagi walaupun kemestian hutang PTPN perlu dilangsaikan secepat yang mungkin, tetapi berita seperti ini membuktikan kewujudan "Double standards" dalam penilaian kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri yang juga Presiden Umno itu.

"Adalah tidak wajar jika kroni Umno boleh didahulukan sebaliknya pelajar pula diketepikan," ujarnya.

Semalam Rafizi mendedahkan di dalam blognya sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Shukry Mohd Salleh yang mengarahkan supaya MBSB mengenepikan notis kebankrapan terhadap Ketua Umno Kepong, Datuk Rizuan Abdul Hamid, berhubung pembangunan 10 unit banglo di Bukit Tunku.

Selain itu, surat itu secara jelas menyatakan arahan agar MBSB menyelesaikan tuntutan pinjamannya terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid diluar mahkamah.

Rafizi berkata, Datuk Rizuan Abdul Hamid adalah salah seorang Ketua Bahagian Umno yang paling lantang membela Najib. Beliau menjadi popular apabila mengikrarkan beliau berani mati untuk Najib semasa Mesyuarat Umno Bahagian Kepong tahun lalu seperti dilaporkan Awani.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...