TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

Kim Swee mahu perlawanan Kedah-PDRM ditunda


Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, berharap agar Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) merombak jadual Liga Malaysia demi persiapan skuad kebangsaan.

Harimau Malaysia akan berdepan Myanmar dalam aksi persahabatan Kelas A pada 28 Mei ini dan Kim Swee percaya Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, sedia membantu.

"Saya telah meminta pihak FMLLP untuk menukar tarikh perlawanan di antara Kedah dan PDRM disebabkan skuad kebangsaan akan memulakan latihan pusat pada 22 Mei di Yangon.

"Saya percaya pihak FMLLP sudi membantu kami dan saya harapkan satu keputusan yang baik," katanya.

Sementara itu, Kim Swee mengesahkan beberapa muka baharu bakal memberi nafas baharu kepada skuad kebangsaan, namun ia berlandaskan prestasi bersama pasukan masing-masing.

"Kemungkinan ada lima atau enam pemain baharu yang akan dipanggil menyertai skuad kali ini.

"Ada antara mereka yang bakal dipanggil buat kali pertama manakala ada juga yang pernah mewakili skuad kebangsaan. Apapun, kami masih ada dua perlawanan Liga Super sebelum saya membuat keputusan muktamad," tambahnya.

Selain pertemuan dengan Myanmar, Malaysia bakal mengharungi dua perlawanan playoff Piala Asia 2019 menentang Timor Leste pada 2 dan 7 Jun di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...