TERKINI :

Tuesday, May 3, 2016

KENAIKAN CAJ YANG TIDAK WAJAR TERHADAP INDUSTRI PENERBANGAN OLEH KERAJAAN


Hari ini akhbar The Star melaporkan pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia akan menaikkan pelbagai caj yang bakal dikenakan oleh pihak mereka bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan dan untuk pelbagai lesen yang dikeluarkan. Mungkin ini sejajar dengan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan ura-ura pengswastaan sebahagian daripada perkhidmatan yang sebelum ini disediakan oleh pihak DCA Malaysia.

Secara amnya, akhbar The Star merumuskan bahawa kenaikkan ini akan menyebabkan kenaikan harga seperti tambang kapalterbang akan meningkat sehingga 1000 peratus. Ini akan membuatkan industri penerbangan di Malaysia tidak akan lagi berdaya saing berbanding dengan syarikat-syarikat penerbangan serantau. Akhbar tersebut juga memberi contoh iaitu tiket penerbangan daripada Semenanjung ke Sabah atau Sarawak pada masa ini yang berharga lebih kurang RM160 mungkin akan menjadi RM1600 jika cadangan ini diluluskan.

Mungkin agak keterlaluan contoh yang diberikan oleh akbar tersebut. Ini kerana kita perlu mengambil kira bahawa laluan udara diantara Semenanjung Malaysia dengan Sabah atau Sarawak hanya dikawal kurang daripada separuh oleh pihak DCA Malaysia. Manakala bakinya dikawal oleh pihak Berkuasa Kawalan Trafik Udara Singapura yang tidak mengenakan apa-apa caj navigasi udara (Air Navigation Flight Charges - ANFC) ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pihak mereka.

Berbalik kepada cadangan menaikkan harga caj perkhidmatan udara oleh pihak DCA Malaysia, perkara ini hanya akan mengiakan kebimbangan sebahagian daripada Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang pada tahun lepas bahawa Rang Undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 ini akan meningkatkan lagi harga tiket kapalterbang dan lain-lain perkhidmatan berkaitan penerbangan. Belumpun setahun, perkara ini sudah hampir benar-benar terjadi!

Apapun alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah DCA Malaysia samada caj-caj tersebut tidak dinaikkan semenjak tahun 1970 atau DCA Malaysia telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan udara, itu bukanlah satu alasan yang baik kerana kesan tindakan DCA Malaysia ini akan membebankan rakyat biasa pada akhirnya.

Umum perlu mengetahui bahawa Malaysia tidak menaikkan caj ANFC lebih 40 tahun adalah disebabkan oleh persaingan ekonomi dengan pihak Singapura. Pihak Berkuasa Kawalan Trafik Udara Singapura tidak mengenakan sebarang caj ANFC walaupun mereka mengawal hampir keseluruhan ruang udara di selatan Laut China Selatan. Faktor ini adalah antara faktor utama yang membolehkan mereka diberi amanah oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengawal ruang udara sebahagian EEZ Malaysia dan juga ruang udara Wilayah Kelautan Indonesia diantara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Selain itu, faktor ini turut menarik minat banyak syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa untuk memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebagai destinasi mereka berbanding dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dengan keadaan sekarangpun KLIA ketinggalan berbanding Changi dari segi jumlah tumpuan pesawat, jika cadangan ini dilaksanakan ianya hanya akan membuatkan keadaan yang buruk menjadi lebih parah.

Peruntukan kerajaan kepada DCA Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan udara yang setanding dengan piawaian antarabangsa tidak seharusnya dijadikan alasan oleh DCA Malaysia untuk menaikan caj. Ini kerana syarikat-syarikat penerbangan dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya telah dan akan membayar sejumlah cukai yang tinggi kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka. Oleh itu, dari segi kitaran ekonomi, alasan tersebut adalah tidak relevan untuk digunapakai pada masa ini.

Apapun, jika betul kenaikan kos sebagai kesan sampingan bagi menambahbaik perkhidmatan yang bakal disediakan, ia tidak sepatutnya melibatkan kenaikan yang melebihi 30 peratus. Selain daripada ia akan membunuh aktiviti general aviation, jika kenaikannya melebihi 1000 peratus, perkara ini adalah satu kerja yang gila. Umum sudah mengetahui bahawa kenaikan kos tersebut akan dipulangkan kepada pengguna oleh syarikat-syarikat penerbangan. Oleh itu rakyat biasa sebagai pengguna akan menjadi lebih tertekan dengan tindakan yang akan diambil oleh DCA Malaysia. Dengan keadaan ekonomi sekarang ini, perkara ini adalah tidak perlu!!

Lt Kol (B) Mohamad Daud Sulaiman
Penganalisa Industri

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...