TERKINI :

Monday, May 16, 2016

Kedudukan Kerajaan Negeri Selangor goyah.. PAS, BN & BEBAS mampu bentuk kerajaan

OBT

SELEPAS DAP mengambil keputusan memecat keahlian Adun Teluk Datok, Loh Chee Heng kelmarin kerana didakwa menyalahgunakan peruntukan Dun, kedudukan Kerajaan Negeri Selangor kini dikatakan dalam keadaan kurang stabil.

Orientaldaily dalam laporannya semalam merumuskan sekiranya Chee Heng yang kini sudah bukan ahli DAP lagi, menjadi orang penting dalam pembentukan kerajaan negeri di Selangor.

Ini kerana, sekiranya Adun Teluk Datok itu memberi sokongan kepada BN dengan melompat ke mana-mana parti komponen dalam BN, ini akan memberi peluang kepada Pas dan BN bergabung menubuhkan kerajaan negeri bersama.

Pada PRU lalu, Pas mempunyai 15 Adun dalam Dun Selangor dan Umno mempunyai 12 Adun. Jika dicampur dengan Chee Heng dan seorang lagi Adun bebas, iaitu bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pas-Umno mempunyai 29 Adun berbanding Pakatan Harapan yang berjumlah 27 Adun.

Dengan kata lain, perbezaan dua kerusi ini akan memungkinkan kuasa tampuk kepimpinan kerajaan negeri Selangor boleh bertukar tangan pada bila-bila masa. Namun apakah Pas bersedia berpaling tadah meninggalkan rakan sekutunya, PKR untuk membentuk kerajaan baharu bersama Umno?

Kata akhbar ini lagi, inilah ujian yang dihadapi Menteri Besar, Azmin Ali untuk mengelakkan kerajaan negeri di bawah kepimpinannya terus berada dalam keadaan genting dan goyah.

Bagaimanapun, kata akhbar ini, Pas buat ketika ini masih tidak berganjak daripada pendirian dengan kekal bersama PKR dan DAP untuk sama-sama menerajui jentera kerajaan negeri. Tambahan pula, daripada 15 Adun Pas itu, dipercayai bukan semua wakil rakyatnya yang menyokong penubuhan kerajaan campuran dengan Umno.

Mengenai isu Kabinet baharu di Sarawak, hampir semua akhbar Cina semalam menumpukan laporan mengenai ketiadaan kaum Cina dilantik sebagai timbalan ketua menteri yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satim, kelmarin.

Terkejut dan kecewa. Itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh masyarakat Cina di Sarawak khasnya kerana walaupun diperuntukkan sebanyak tiga jawatan timbalan ketua menteri, tidak ada seorang pun diwakili oleh kaum Cina.

Sin Chew Jit Poh melaporkan, walaupun pengundi Cina memberikan sokongan yang menggalakkan kepada BN dalam PRN minggu lalu, tetapi jawatan timbalan ketua menteri yang ditunggu-tunggu mereka selama ini tidak menjadikan kenyataan.

Pada sidang akhbar yang diadakan Adenan kelmarin, beliau menafikan pernah berjanji akan memperuntukkan jawatan timbalan ketua menteri kepada kaum Cina, sebaliknya berkata, jawatan itu hanya akan diberikan jika SUPP menang dalam semua kerusi ditandangi mereka dalam PRN lalu.

Akhbar ini mempersoalkan dengan tidak memperoleh timbalan ketua menteri dalam Kabinet negeri, apakah kaum Cina di Sarawak akan terpinggir? Akhbar ini juga melontarkan pertanyaan apakah mungkin Cina di Sarawak telah salah faham akan janji yang dibuat oleh Adenan ketika kempen PRN lalu.

Adenan adalah seorang pemimpin yang berkaliber. Kata akhbar ini, beliau cuba menaburkan janji-janji yang menarik bagi mendapatkan seberapa banyak sokongan daripada masyarakat Cina.

Sama ada janji-janjinya ditunaikan ataupun tidak, apa yang diusahakan oleh Adenan sepanjang tempohnya sebagai ketua menteri tetap dipuji dalam menjaga kepentingan semua kaum di Sarawak.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan kerajaan negeri Sarawak menggubal perlembagaan agar memperuntukkan empat jawatan timbalan ketua menteri sedikit sebanyak melegakan kaum Cina di negeri itu.

Cadangan menambah satu lagi kerusi timbalan ketua menteri itu dikatakan akan diperuntukkan kepada wakil Cina pastinya diterima baik dan disokong.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...