TERKINI :

Monday, May 9, 2016

Jamal Yunos tak minat tanding, tapi terpulanglah...

Pemimpin akar umbi kontroversi Umno Datuk Jamal Md Yunos berkata beliau tidak berminat bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bagi menggantikan penyandangnya yang meninggal dunia.

“Saya daripada awal lagi telah menyatakan bahawa saya tak berminat dan daripada tujuh calon tersebut, saya tidak meletakkan diri saya dalam senarai tersebut,” kata ketua Umno Sungai Besar itu.

Beliau mendedahkan pihaknya mempunyai senarai tujuh calon berpotensi yang telah disediakan lebih awal bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, ketika ditanya apakah beliau bersedia sekiranya dicalonkan bertanding, beliau berkata terpulanglah kepada pucuk pimpinan parti Melayu itu.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti,” katanya kepada Malaysiakini.

“Tetapi saya daripada awal lagi saya telah nyatakan saya seorang ahli perniagaan yang hanya ingin membantu parti, (dan) siapa sahaja calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang.”

“Tetapi telah berlaku tragedi maka kami telah bersedia untuk pilihan raya.”

Berhubung calon-calon berpotensi Umno, Jamal masih enggan mendedahkannya.

“Yang itu saya tak boleh umumkan dan saya juga tidak mempunyai kuasa berbuat demikian jadi biarlah pucuk pimpinan yang umumkan senarai nama mereka,” kata Jamal.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan dijalanlan susulan kematian penyandang kerusi itu – Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan – akibat nahas helikopter Khamis lalu.

Yakin majoriti lebih besar

Mengulas keyakinan Umno mengekalkan kerusi parlimen itu, Jamal yakin, ditambah lagi dengan kemenangan besar BN di Sarawak kelmarin.

“Walaupun pada PRU13 (pilihan raya umum ke-13) lalu calon BN mendapat 399 undi, tetapi dengan komitmen serta gerak kerja yang kami lakukan saya yakin PRK kali ini 2,500 majoriti undi,” kata Jamal.

Setakat ini, PAS sudah mengumumkan akan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan belum memutuskan sama ada akan turut berentap di kawasan campuran dengan majoriti Melayu itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, seramai 42,837 layak membuang undi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...