TERKINI :

Thursday, May 12, 2016

Hebatnya PAS sampai boleh sound PAKATAN HARAPAN supaya jangan letak calon di Sg. Besar & K.Kangsar

PAS beri amaran kepada Pakatan Harapan jangan letak calon bertanding

KUALA LUMPUR, 12 Mei: PAS memberi amaran kepada Pakatan Harapan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana parti itu mendakwa pertembungan sesama parti pembangkang hanya akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) sepertimana yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Menurut timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua kawasan tersebut merupakan kawasan PAS dan beliau yakin sekiranya parti pembangkang yang lain tidak meletakkan calon mereka, ia akan memberi peluang kepada PAS untuk menumpaskan BN.

“PAS akan bertempur habis-habisan terhadap Umno-BN di PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar. Kedua-dua kerusi ini ialah kerusi tradisi PAS, dan oleh kerana itu, PAS telah tegaskan bahawa ia akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon di kedua-dua Parlimen ini.

“Dengan demikian, sebarang tindakan dari mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon maka ini bermakna mereka memberi tongkat kepada BN.

“Sesungguhnya, PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar ini bukan medan nak tunjuk hebat hingga yang kalah jadi abu menang jadi arang – melainkan ada yang memang bercita-cita sedemikian.

“Diharapkan tiada parti pembangkang lain yang meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan kerana tindakan demikian tidak lebih hanya memberi peluang besar bagi BN memenangi PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kekosongan dua kerusi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ekoran dari kematian kedua-dua penyandanganya dalam nahas helikopter di Sarawak minggu lalu.

Lantaran itu, PAS pada Isnin telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di kedua-dua kawasan tersebut kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, jarak undi di antara calon PAS dan BN di Sungai Besar hanya 399 undi manakala di Kuala Kangsar pula jarak undi dengan BN hanya 1000 undi.

Oleh yang demikian, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan parti itu mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kedua-dua kerusi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula menegaskan Pakatan Harapan masih belum berbincang sama ada mereka akan meletakkan calon bertanding di PRK itu nanti.

Difahamkan, perbincangan Pakatan Harapan mengenai perkara ini akan dibuat pada 15 Mei nanti.

Turut difahamkan, berkemungkinan besar Pakatan Harapan akan meletakkkan calon dari Amanah kerana kedua-dua kawasan itu pengundi majoriti adalah Melayu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana menurutnya Pakatan Harapan masih belum menentukan calon mana yang akan bertanding kelak.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...