TERKINI :

Friday, May 20, 2016

DEKLARASI RAKYAT - WARKAH ANWAR UNTUK BETULKAN LANGKAH SUMBANG DEKLARASI


Rakyat terus diperdebatkan dan bertambah hangat apabila 'terbocor'nya warkah dari Sg Buloh. Masing-masing berebut menjadikan warkah tersebut sebagai dalil dan nas untuk menyatakan pendekatan mereka betul. 

Aku sejak awal lagi bersedia menyokong Deklarasi Rakyat atas dua sebab. Pertamanya, kerana Deklarasi Rakyat ini salah satu pendekatan untuk menjatuhkan Najib dan melemahkan Umno/Bn. Kedua, Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhannya tidak menyebut sesiapa sebagai pemimpin dan ianya diwujudkan atas semangat rakyat dan paling utama Deklarasi Rakyat ini tidak pernah ditentang atau dilarang oleh parti aku sendiri sehingga saat ini. 

Atas dua sebab itu, aku merasakan dan berijtihad bahawa Deklarasi Rakyat lebih banyak baik dari buruknya. Persoalan ditanya, mengapa tidak wujud suara dari Sg Buloh seawal kewujudan Deklarasi Rakyat? Bukankah Kak Wan dan Anwar sememangnya tahu bahawa Mahathir turut bersama untuk menjatuhkan Najib? Mengapa tiada larangan atau arahan dari pucuk pimpinan KEADILAN untuk kita menjauhkan diri dari Deklarasi Rakyat waktu itu? Mengapa SUA KEADILAN sendiri, YB Rafizi adalah di antara tulang belakang di dalam Deklarasi Rakyat? 


Waktu itu mungkin kita merasakan kita mampu mengawal perlaksanaan Deklarasi Rakyat ini mengikut acuan kita bukan acuan pihak lain. Tidak salah untuk mencuba. Tidak perlu ada emosi mengatasi kepentingan rakyat. Deklarasi Rakyat ini boleh sahaja diwujudkan walaupun tanpa Mahathir, namun apabila Mahathir sendiri mahu menjadi tulang belakang bagi menjatuhkan Najib, apakah kita begitu bodoh untuk menolaknya? Mahathir dikatakan ada agenda, mustahil kita yang berjuang sejak tahun 1998 langsung tiada agenda? 

Bahkan aku merasakan agenda kita lebih jauh ke hadapan dari apa yang ada pada pemikiran Mahathir. Kalau difikir emosi dan otak kita selalu membayangi 'hantu Mahathir', kita tidak akan dapat buat apa-apa kalau Mahathir sentiasa mengikuti kita. Aku pun yakin, Tamrin Ghafar menyokong perjuangan PH adalah kerana kepentingan rakyat. 

Jika mahu fikir ke belakang dan emosi, Tamrin tentunya terasa hati dengan Anwar yang pernah menjatuhkan arwah ayahandanya Tun Ghafar sewaktu Anwar berada di dalam Umno. Tanpa emosi juga Anwar diterima baik oleh rakan-rakan di dalam Pas di era Almarhum Us Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz sewaktu Anwar mula-mula dipecat dari Umno. Sewaktu di dalam Umno, Anwar adalah benteng kuat Umno apabila Pas menyerang Umno. Semua tahu. 

Sampai bila mahu fikir ke belakang? Benar, sejarah boleh diingati untuk dijadikan pengajaran dan panduan tetapi sejarah tidak boleh diubah lagi. Maka, Deklarasi Rakyat yang disokong oleh Mahathir tidak patut dianggap sebagai melaksanakan agenda Mahathir walaupun kita semua tahu sejarah Mahathir. Melalui sejarah lampau Mahathir ini lah sepatutnya kita lebih bijak berdepan dengan beliau bukan mengalah dengannya. Apa yang disuarakan melalui warkah dari Sg Buloh itu? Pada aku, sejajar dengan apa yang disebut oleh Rafizi, memang tepat pada masanya Anwar bersuara apabila beliau dapat merasakan hala tuju Deklarasi Rakyat seolah-olah mahu dipesongkan. 

Paling mengecewakan, pimpinan parti gagal mengawal Mahathir dari bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agenda Deklarasi Rakyat. Mahathir tidak perlu bercakap soal Anwar jika dia tidak mahu Anwar bebas sekali pun. Jika Mahathir tidak mahu kita ungkit sejarah lampau dan kezalimannya, perlu apa dia terus bercakap soal Anwar? Mengapa pimpinan kita yang mengusung orang tua ini ke hulu ke hilir boleh berdiam diri dengan tingkah laku Mahathir? 

Ini lah yang menyinggung perasaan Anwar dan keluarganya. Kita juga turut tidak senang dengan sikap Mahathir itu yang seolah-olah ingin mengambil kesempatan di atas gabungan ini. Lebih dahsyat lagi, apabila ada yang sanggup berbelanja lebih demi menjayakan program bersama Mahathir. Layanan melampau dan menjolok mata seperti ini menjadikan Mahathir lupa diri dan boleh kawal kita di dalam Deklarasi Rakyat jika dibiarkan berterusan. 

 Justeru itu, wajar dan tepat sekali Anwar bersuara sekarang. Anwar dan Presiden setakat ini tidak arahkan hentikan Deklarasi Rakyat, tetapi Anwar dan Presiden keluarkan ingatan dan teguran keras agar pimpinan tersedar dari mimpi indah mereka bersama Mahathir. Jangan salahkan Mahathir jika dia dilayan sedemikian rupa. Kita tepuk dada, kita tanya hati dan iman kita. 

Selagi aku bersama parti, aku percaya kepada keputusan parti. Aku yakin parti akan ada satu keputusan tepat berkaitan isu ini. Jika parti membenarkan pimpinan dan ahli-ahli memilih jalan sendiri di dalam isu ini (Deklarasi Rakyat), maka parti harus bersedia menerima berbagai ragam dan perangai pemimpin dan ahli-ahlinya. 

DICATAT OLEH WFAUZDIN NS 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...