TERKINI :

Friday, May 20, 2016

DBKL oh DBKL - Penguatkuasa pie mana sampai dok biaq kabel haram nie wujud...

KL banjir akibat kabel haram dalam longkang

Datuk Mohd Zain Hassan
KUALA LUMPUR: Kabel elektrik yang dipasang secara haram di dalam longkang berdekatan kawasan premis sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini didapati antara punca utama risiko banjir kilat di ibu kota, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan berkata akibat kewujudan kabel itu, ia menyebabkan pengaliran air di dalam longkang menjadi tidak lancar berikutan sampah yang tersekat di antara celah kabel berkenaan.

“Kabel tersebut menyukarkan kami (Alam Flora) melaksanakan kerja pembersihan kerana ruang di dalam longkang yang sedia sempit menjadi lagi terhad sehingga memaksa kami mengutip sampah menggunakan tangan berbanding gunakan mesin penyedut dan penyembur.

“Tambahan lagi, jadual pembersihan longkang hanya dilakukan sekali sebulan dan dalam tempoh itu, sampah menjadi kian banyak dan apabila hujan lebat, air daripada longkang yang tersumbat akan naik ke atas sehingga menyebabkan banjir.

“Kami juga khuatir sekiranya kabel tersebut sudah lama dan bercampur pula dengan air, pekerja kami berisiko untuk terkena renjatan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan di beberapa lokasi ‘panas’ banjir kilat di sini semalam.

Dalam lawatan itu, pekerja Alam Flora turut menunjukkan hasil kutipan sampah dan sisa makanan yang tersangkut di dalam longkang antaranya bekas makanan dan botol plastik, dipercayai kesan perbuatan orang awam dan pekedai berdekatan yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, kabel utiliti tersebut kerap ditemui di lebih 25 lokasi di sekitar Kuala Lumpur antaranya Jalan Tuanku Abdul Rahman dan segala aduan mengenai masalah ini diadukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan selanjutnya.

Selain kabel, binaan tambahan yang didapati menutup sebahagian longkang di belakang restoran turut mengganggu kerja pembersihan.

“Sisa bahan binaan itu menyebabkan longkang tersumbat dan ditambah lagi dengan saiz longkang yang kecil sehingga ia tidak dapat menampung kapasiti air hujan yang banyak,” katanya.

Beliau berkata isu kabel dan binaan yang menutup longkang merupakan isu lama, dan ia masih berlaku walaupun DBKL mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit.

Beliau juga kesal dengan anggapan sesetengah pihak yang menuduh Alam Flora menjadi punca kejadian banjir kilat berlaku sedangkan pihaknya hanya menjalankan tugas pembersihan manakala kerja penyelenggaraan di bawah agensi lain.

Sehubungan itu, Alam Flora sedang menunggu keputusan segera daripada DBKL agar membenarkan pihaknya dapat meningkatkan frekuensi jadual pembersihan longkang di kawasan berisiko banjir dan berkepadatan tinggi di sini antaranya di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Duta, Jalan Imbi, Jalan Pudu dan Jalan Kia Peng.

Katanya, sebanyak 20 tan komposisi sisa termasuk minyak, tanah dan pasir di dalam longkang sekitar Kuala Lumpur disedut setiap hari menggunakan mesin penyedut air.

Sementara itu, katanya, berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara baru-baru ini, Alam Flora bersama DBKL telah mengerahkan dua pasukan khas sebagai persediaan menghadapi banjir kilat.

– BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...