TERKINI :

Tuesday, May 3, 2016

DAP mampu tawan S'wak pada 2021 jika...


Jika DAP menang di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Bawang Assan pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, maka parti itu mampu menawan Sarawak pada pilihan raya negeri itu lima tahun lagi.

Untuk rekod, DAP gagal untuk memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya negeri 2011.

Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pertarungan untuk kerusi Bawang Assan kali ini adalah sangat signifikan kerana DUN tersebut bukan salah satu daripada 12 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya 2011.

"Jika DAP boleh menang di Bawang Assan pada 7 Mei ini, ia akan menjadi bukti yang kukuh bagi menunjukkan rakyat Sarawak bersedia dengan Rancangan DAP Sarawak untuk menawan kerajaan negeri itu pada pilihan raya negeri 2021.

"Perjalanan perjuangan politik DAP Sarawak untuk masyarakat yang lebih adil, saksama dan demokratik bukan sesuatu yang mudah, selama 38 tahun sejak DAP bertapak di Sarawak pada tahun 1978," katanya dalam kenyataan.

Ini merupakan pilihan raya negeri kesembilan yang ditandingi oleh DAP sejak 1978 dan DAP mengambil masa selama 18 tahun lamanya untuk berjuang bagi memecah kehadiran sifar parti itu dalam DUN.

Mengulas lanjut, Lim berkata, jika Pulau Pinang dan Selangor terbukti mampu ditadbir oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan, kenapa tidak Sarawak.

"Pada kali ini, mampukah DAP dan rakyat Sarawak menulis sejarah dan mencipta keajaiban untuk mempertahankan 12 DUN yang dimenangi pada pilihan raya yang lalu sambil menambah kemenangan di beberapa kerusi yang didominasi kaum Dayak daripada kesemua 31 kerusi yang ditandingi DAP.

"Jika dua objektif ini berjaya di samping kemenangan di Bawang Assan oleh DAP, akan membawa wadah perjuangan baru kepada Rancangan Politik 5 tahun untuk rakyat Sarawak ke arah menawan negeri itu pada pilihan raya negeri tahun 2021," ujarnya.

Semuanya akan terjawab pada 7 Mei ini, tambah beliau.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...