TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

Calon PRK: Pakatan Harapan mesyuarat esok di Pejabat AMANAH KL

http://themalaysianreserve.com/new/sites/default/files/styles/698x498/public/Pakatan%20Harapan%20-%20PKR%20-%20DAP%20-%20Amanah.jpg?itok=R2QOEBla

PASIR PUTEH - Pakatan Harapan tetap akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar walaupun terpaksa berdepan dengan Pas.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lagi pertembungan sesama sendiri antara parti dalam Pakatan Harapan sebagaimana yang berlaku di Sarawak baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, parti mana yang akan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mewakili Pakatan Harapan belum diputuskan.

"Pakatan Harapan akan bermesyuarat esok di Pejabat Amanah di Kuala Lumpur bagi menentukan parti mana yang akan bertanding, kita tetap bertanding.

"Yang pasti kita meletakkan calon dalam dua PRK itu walaupun mendapat tentangan daripada Pas," katanya kepada media pada Majlis Makan Malam anjuran Amanah Pasir Puteh di Sweet Beach Resort, Tok Bali dekat sini, malam tadi.

Turut hadir; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Adun Salor, Datuk Husam Musa; Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah Pasir Puteh, Abdul Halim Mohamad.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengingatkan DAP, PKR dan Amanah supaya tidak meletakkan calon jika sekadar untuk menguji sokongan, Mat Sabu berkata, PH mempunyai hak untuk bertanding.

Katanya, beliau menghormati keputusan Pas untuk bertanding tetapi Pas tidak boleh menghalang parti-parti dari Pakatan Harapan menyertainya.

"Pas tiada dalam Pakatan Harapan, soal Pas nak turut bertanding iu soal dia, kita pun ada hak nak bertanding atau tidak dan kita memutuskan untuk bertanding kali ini.

"Sambutan kepada Pakatan Harapan di semenanjung lebih baik berbanding Sarawak kerana isu-isu yang dibangkitkan di sini (semenanjung) jauh berbeza dengan Sarawak, harapan untuk kita menang adalah cerah," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...