TERKINI :

Saturday, May 28, 2016

BN namakan balu Wan Mohammad Khair-il calon PRK Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu kepada Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai calon PRK Parlimen Kuala Kangsar yang akan berlangsung pada 18 Jun depan.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi, menurut laporan Bernama.

Mastura, 55, ialah graduan undang-undang Lincoln’s Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat anak ini juga giat dunia politik dan menjadi AJK Umno Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Meskipun tidak menyandang sebarang jawatan rasmi namun ramai mengetahui Mastura ialah penasihat peneman setia arwah suaminya dalam menggerakkan kerjanya sebagai wakil rakyat di Bukti Chandan dan seterusnya mewakili Parlimen Kuala Kangsar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong susulan kematian penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, allahyarham Wan Mohammad Khair-il memperoleh 14,218 undi dengan majoriti 1,082 undi menyingkirkan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan Calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Kuala Kangsar mempunyai 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 merupakan pengundi awal.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...