TERKINI :

Saturday, May 14, 2016

BN guna undi simpati di Kuala Kangsar, Sungai Besar?

BN

KUALA LUMPUR - Penganalisis politik yakin BN akan menggunakan undi simpati dalam meraih sokongan untuk dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

‎Pensyarah dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, undi itu akan memainkan peranan namun pembangkang tidak akan berdiam diri.

‎Namun menurutnya, calon turut memainkan peranan untuk BN terus kekal menguasai dua-dua Parlimen itu.

"Sekiranya calon itu dilihat benar-benar ada integriti seperti di Sarawak ada Adenan (Tan Sri Adenan Satem) yang anti-rasuah, jujur, diterima ramai, mesra rakyat, saya fikir calon itu boleh diterima.

"Perbalahan di peringkat Bahagian juga perlu dibendung. Mereka perlu bersatu di bawah payung BN," katanya ketika sesi soal jawab selepas forum berkaitan Pilihan Raya Negeri Sarawak, semalam.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar hampir pasti berlaku apabila kedua-dua penyandangnya, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Anuar (Kuala Kangsar) terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa di Kuala Kangsar terdapat ahli-ahli Umno yang berpuak-puak dengan menyokong beberapa wira politik masing-masing seperti bekas Ketua Wanita Umno,Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Othman serta beberapa pemimpin lain.

‎Manakala katanya, di Sungai Besar ada isu Ketua Bahagian Umno yang dilihat tidak rapat dengan Pemudanya.

‎"Cuma kita harapkan di sana budaya politik Jawa. Yang taat, dengar perintah. Itu boleh ubah undi," katanya.

Tegasnya, keputusan dua PRK ini akan menjadi ukuran sebenar kepimpinan Putrajaya.

‎"Dua PRK ini menentukan populariti Putrajaya.

"Jika berjaya, maka cepatlah PRU14, jika tidak, terpulang untuk anda fikirkan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...