TERKINI :

Saturday, May 28, 2016

Bashah: Leong perlu diberi ruang dan waktu timbang semula keputusannya

Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong yang mengumumkan mahu keluar partinya semalam perlu diberi ruang dan waktu untuk menimbangkan semula keputusannya itu, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
   
Katanya Leong yang juga seorang daripada anggota exco negeri wajar dibenarkan bercuti selama dua minggu bagi membolehkannya menenangkan fikiran dan memahami keadaan sebenarnya tentang isu yang menyebabkan beliau bertindak untuk keluar parti.
   
"Lepas dia bercuti itu nanti, (barulah) saya akan jumpa dia tapi saya memang sudah bercakap (dengannya) dalam (perbualan) telefon," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan bencana dan elaun sara hidup nelayan di Kompleks Perikanan Penarak di Langkawi.
   
Menurutnya tindakan Leong semalam merupakan sesuatu yang tidak disangkakan oleh beliau yang ketika itu masih berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sana.
   
"Tapi tak apalah. Kita akan cuba selesaikan masalah ini dengan cara semangat Barisan Nasional," katanya.
   

Leong yang juga ADUN Gurun mengumumkan akan keluar daripada MCA dalam satu sidang media di Alor Setar semalam kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat, kelmarin.
   
Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan jawatannya sebagai exco dan menyerahkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tong Lai untuk menggantikannya (sebagai timbalan pengerusi MCA Kedah).
   
Berikutan pengumuman beliau itu, Pengerusi MCA Kedah Datuk Lee Chee Leong memberi tempoh dua minggu kepada Leong untuk mempertimbangkan semula keputusannya itu.
   
Leong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan pada 20 Mac 2014.
- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...