TERKINI :

Sunday, May 8, 2016

Azmin ajak PAS bersama Pakatan Harapan

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengajak PAS untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam, yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

"Justeru, Amanah (Parti Amanah Negara) dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. PAS dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

"Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita.

"Kita harus akur yang rakan-rakan sekutu kita akan terus berbeza pendapat dalam isu tertentu pada masa hadapan namun keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini," kata Azmin.

PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan PAS turut menubuhkan Amanah dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PAS pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

-Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...