TERKINI :

Saturday, May 28, 2016

Apabila pengarah pendidikan negeri otak macam budak 'tadika'...

Latihan tepuk tangan bukan arahan kementerian

P Kamalanathan
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya guru dan pelajar di Terengganu melakukan latihan tepuk tangan, kata Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, sebaliknya arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Negeri.

"Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan (berlatih tepuk tangan) sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.

"Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo baharu 'Dengue Patrol 2016' di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dan Pengarah Urusan Sanofi Pasteur Malaysia, Singapura dan Brunei, Baptiste de Clarens.

Kamalanathan berkata demikian ketika mengulas mengenai rakaman video yang tersebar di laman sosial menunjukkan guru dan pelajar di sebuah sekolah di Terengganu menjalani latihan tepuk tangan.

Arahan itu didakwa dikeluarkan Pengarah Pendidikan Terengganu menerusi aplikasi WhatsApp yang meminta semua guru dan pelajar menjalani latihan tepuk tangan selama lima minit.

Sementara itu, mengulas mengenai Dengue Patrol 2016, Kamalanathan berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Sanofi Pasteur, sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa untuk memperkasakan pelajar sekolah supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam aktiviti mencegah denggi serta menjadi ejen perubahan yang berkesan kepada masyarakat.

Katanya pelajar mampu menjadi ejen pengubah yang besar dalam usaha kerajaan membasmi wabak itu.

Menurut Kamalanathan, dengan pendedahan awal terhadap bahaya penyakit berkenaan serta cara mencegahnya kepada pelajar, mereka boleh berkongsi ilmu berkenaan bersama anggota keluarga serta masyarakat sekeliling.

"Tugas untuk membasmi wabak yang semakin serius ini bukan terletak di bahu kerajaan sahaja, semua pihak seperti keluarga, masyarakat, badan bukan kerajaan serta syarikat-syarikat swasta perlu memainkan peranan masing-masing," katanya. – Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...