TERKINI :

Sunday, May 15, 2016

AMANAH pastikan tiada pertembungan dalam PAKATAN HARAPAN

KENYATAAN MEDIA PARTI AMANAH NEGARA BERHUBUNG PILIHAN RAYA KECIL (PRK) P.093 SUNGAI BESAR DAN P.067 KUALA KANGSAR

  
 
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) di dua kawasan Parlimen ini kerana mempraktikkan semangat setiakawan dan kejujuran berpakat sepertimana yang sepatutnya wujud dalam Pakatan Harapan (PH).

2. Kenyataan berhubung dua pilihan raya kecil ini sewajarnya dibincang dan dipersetujui dahulu di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH khasnya setelah berlakunya kecelaruan semasa pilihan raya negeri Sarawak. AMANAH yakin tiada mana-mana rakan PH yang mahu melihat pengalaman buruk tempoh hari berulang.

3. AMANAH amat menghargai cadangan pelbagai pihak dan individu pimpinan parti berhubung kedua-dua PRK ini. Namun, AMANAH menegaskan bahawa tiada yang muktamad sehingga diputuskan dalam mesyuarat majlis Presiden Pakatan Harapan.

4. Budaya kenyataan dan tindakan unilateral boleh diamalkan oleh pihak lain tetapi AMANAH menegaskan ianya tidak boleh dan tidak wajar menjadi amalan Pakatan Harapan. Atas keinginan dan komitmen terhadap pendekatan muafakat politik yang jujur dan ikhlas ini, maka AMANAH ditubuhkan meskipun ada yang terpaksa meninggalkan parti asal mereka.


5. AMANAH mahukan PRK ini dijadikan medan memperkukuh Pakatan Harapan sekaligus membina keyakinan rakyat terhadap keutuhan dan kesungguhan Pakatan Harapan mencabar BN sebagai kerajaan menanti.

6. AMANAH berpendapat bahawa dua PRK ini mesti dilihat dalam perspektif yang tepat dengan matlamat yang khusus. Ia mesti dilihat dalam rangka membina kekuatan PH dalam mendepani PRU14. Implikasi baik buruk terhadap PRU14 perlu dihadam dengan jelas (Fiqh Al-Maalat/Fiqh Kesan-Konsekuensi).

7. AMANAH secara konsisten menyeru semua pihak, khususnya rakan PH, untuk menggembleng seluruh kekuatan pembangkang termasuk mereka yang ingin sekadar menyingkir Najib, di belakang PH. Tidak perlu dan jangan ada usaha mencari formula mahupun pendekatan yang lain.

8. Mesyuarat AMANAH peringkat Nasional hari ini telah membuat penilaian dan analisa berhubung PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. AMANAH akan mengesyorkan tindakan sewajarnya kepada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan;

i. Syor yang dibawa AMANAH bertujuan mengukuhkan kedudukan PH sebagai satu-satunya saingan yang serius terhadap BN yang bertujuan menggantikannya sebagai kerajaan dan bukan sekadar meletakkan PH sebagai pembangkang kuat mahupun sekadar penasihat.
ii. AMANAH menyeru semua pihak supaya meletakkan keyakinan penuh terhadap PH. Tumpukan usaha kepada pengukuhan PH dan menanamkan kefahaman bahawa persaingan antara BN dan PH perlu diutamakan.
iii. Persaingan ini perlu dibawa ke PRU14 supaya PH dilihat sebagai satu-satunya saingan untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

9. Demi mencapai kemenangan ke atas kerajaan BN yang telah lama mengabaikan hak dan kepentingan rakyat, kerja-kerja mengukuhkan PH secara bulat dan muktamad perlu dilakukan sekarang!

“Harapan Baru”
HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
15 Mei 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...