TERKINI :

Monday, May 9, 2016

Alor Setar - E-Idaman beri Ganjaran jika asing sampah

ALOR SETAR – Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal, Environmen Idaman Sdn Bhd menawarkan ‘ganjaran’ kepada setiap rumah yang mengasingkan sampah mengikut kategori sisa pepejal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd Saiful Anuar Zainal berkata, kaedah itu adalah bagi menggalakkan masyarakat supaya mengamalkan kitar semula.

“Kita menuju ke arah negara maju 2020. Apabila berlaku kemajuan ekonomi dan pertambahan penduduk, ia akan menyebabkan pembinaan sampah yang semakin banyak. Kalau ikutkan perjalanan sampah kita sudah mencapai 30,000 tan sehari.

“Apa yang berlaku sekarang hanya 10.5 peratus sahaja dikitar semula. Jadi kerajaan melihat ini sebagai masalah yang perlu kita tangani segera sebab berlaku pengurangan sumber asli dan isu persekitaran,” katanya, semalam.

Menurutnya, kaedah pemberian ganjaran itu adalah sebagai usaha untuk menyahut saranan kerajaan sebelum menguatkuasakan peraturan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun nanti.

“Apa yang berlaku adalah untuk pengasingan sampah-sampah daripada kita buang terus. Dari segi komposisi sampah itu sendiri sebenarnya lebih kurang 30 peratus kita kitar semula, 45 peratus adalah bahan-bahan organik yang juga boleh dikitar semula.

“Kita dilihat sebagai sebuah negara Islam tapi kita tidak mengamalkan apa yang diajarkan oleh Islam berbanding apa yang dilakukan oleh kebanyakan negara maju dan negara-negara Eropah,” katanya.

Mhd Saiful berkata, pihaknya bersetuju untuk membayar semula kepada mereka yang mengasingkan sisa pepejal dalam bentuk smart kad.

“Ini adalah program E-Idaman dengan kerjasama Yayasan My Kasih. Setiap barang yang dikitar semula akan ditimbang, dinilai ikut harga pasaran dan dikreditkan ke dalam kat tersebut. Nilai dalam kad itu boleh digunakan di pasar raya terpilih.

“Ini merupakan salah satu kaedah yang kita laksanakan termasuk program komuniti bersama masjid-masjid dalam mengumpul sampah kitar semula di kariah masing-masing,” katanya.

Sebagai permulaan, tawaran itu mula dilaksanakan di beberapa taman sekitar Kulim melibatkan sebanyak 2,000 unit rumah sebelum diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini.

“Sekarang ini penjanaan sampah di Kedah adalah sebanyak 1,800 tan sehari. Mungkin kaedah ini yang terbaik untuk kita laksanakan dalam mengurangkan jumlah sampah,” katanya.

Selain itu, mereka yang mengumpul barang kitar semula dengan jumlah sebanyak RM1.50 juga layak mendapat perlindungan insurans sebanyak RM200 bagi jangkitan denggi.

Tambahnya, penerangan mengenai kaedah ganjaran tersebut akan dibuat menerusi satu karnival yang berlangsung pada hari ini dan esok di Mini Stadium Keladi, Kulim.

“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini dan membawa barangan kitar semula kerana setiap barang kitar semula boleh ditukar untuk mendapatkan token,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...