TERKINI :

Friday, May 27, 2016

Aloe Setar - Khemah di tapak program rosak akibat ribut

Khemah di tapak program rosak akibat ribut


ALOR SETAR - Beberapa buah khemah di tapak Program Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2016 di Dataran Jubli Emas, rosak teruk termasuk sebahagian diterbangkan angin kuat, dalam kejadian ribut sekitar 6.00 petang tadi.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HPPNK 2016, Datuk Suraya Yaacob berkata, walaupun mengalami kerosakan teruk, namun pihaknya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian hampir sejam itu.

"Pihak kerajaan selaku penganjur sedang mentaksirkan jumlah kerugian dan jumlah khemah terlibat. Pameran veterinar di kawasan ternakan ditutup serta merta kerana terjejas teruk," katanya.

Menurutnya, pameran lain akan beroperasi seperti biasa mulai jam 10.00 pagi esok.

"Pameran pada malam ini ditutup serta merta bagi memberi laluan pihak berwajib menjalankan siasatan dan bekalan elektrik juga diputuskan serta-merta atas sebab-sebab keselamatan," katanya.

Suraya berkata, ,kerosakan akan dibaiki segera sepanjang malam ini bagi membolehkan pameran dapat diteruskan esok.

"Puluhan khemah di empat seksyen mengalami kerosakan, iaitu khemah jualan makanan, pameran haiwan ternakan, jualan tanaman makanan / landskap dan khemah makan kenamaan," katanya.

Menurutnya, pameran ternakan terpaksa ditamatkan serta merta, manakala jualan tanaman landskap yang terjejas akan diganti khemah baharu.

"Peniaga di jualan makanan terlibat dipindahkan ke khemah di lokasi baharu mulai esok. Khemah makan kenamaan tidak lagi digunakan selepas perasmian selesai siang tadi," katanya.

HPPNK 2016 dibuka kepada orang ramai bermula 25 hingga 29 Mei, 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...