TERKINI :

Thursday, May 26, 2016

Allah'Huakbar.. ada lagi rakyat Kedah yang Makan nasi berlauk garam

Makan nasi berlauk garam 

GURUN – Tujuh beradik berusia dua hingga 16 tahun bukan sahaja ‘lali’ dihidangkan nasi berlauk garam, malah enam daripadanya terpaksa berhenti sekolah selepas keluarga mereka hilang punca pendapatan.

Ibu mereka yang juga seorang mualaf, Nur Atikah Abdullah, 38, berkata, sebelum ini, dia bekerja di Johor dengan memperoleh pendapatan RM200 seminggu.

Menurutnya, ketika bekerja di Johor, dia akan poskan duit gaji yang diperoleh setiap minggu kepada anak-anaknya.

"Namun selepas empat bulan bekerja di sana, saya ambil keputusan berhenti selepas memikirkan keadaan anak-anak yang tinggal di sini.

"Sejak saya kerja di sana, enam anak saya terpaksa berhenti sekolah sebab tak ada duit dan pengangkutan," katanya.

Nur Atikah berkata, akibat kesempitan hidup, dia juga terpaksa menjual tong gas bagi membeli keperluan dapur.

"Sebelum ini, kami pernah tak jamah makanan selama dua hari sebab tak ada wang nak beli barang dapur.

"Malah saya juga pernah hidangkan nasi berlauk garam kepada anak-anak," katanya.

Kisah penderitaan keluarga ini juga pernah menjadi viral selepas gambar pondok yang didakwa dihuni mereka dimuat naik oleh pengguna laman sosial.

Bagaimanapun, Nur Atikah menafikan keluarganya tinggal di dalam pondok berkenaan.

"Itu bukan rumah saya, saya menyewa di kawasan perumahan bukannya sebuah pondok yang hampir roboh,” katanya.

Dalam pada itu, kunjungan Sinar Harian ke rumah yang didiami keluarga itu semalam, mendapati tiada sebarang peralatan mahupun perabot, malah rumah sewa dengan harga lebih kurang RM400 sebulan itu kosong tanpa sebarang tilam, bantal ataupun katil untuk mereka sekeluarga.

Kunjungan itu turut disertai Pengurus Lembaga Zakat Negeri Kedah Cawangan Kuala Muda, Md Sharif Md Isa; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Adnan Abd Rashid dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Amanjaya, Ismail Othman.

Md Sharif berkata, semakan mendapati keluarga berkenaan mendapat bantuan bulanan sebanyak RM400 bermula November 2013 dan dilanjutkan sehingga kini menjadi RM500 sebulan secara berterusan.

Adnan pula berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan segera sebanyak RM150 dan bantuan barangan keperluan dapur bernilai RM150 keseluruhannya.

“Kita juga telah menghantar kelengkapan seperti tilam, toto, tikar dan keperluan lain bagi keselesaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya mengetahui penderitaan hidup keluarga itu selepas salah seorang guru kepada anak Nur Atikah menceritakan keadaan anak muridnya yang tidak hadir ke sekolah.

Menurutnya, bagi memudahkan anak-anak Nur Atikah pergi sekolah, pihaknya sudah mencari sebuah rumah sewa di Sungai Lalang yang lebih dekat dari sekolah berbanding di Gurun dengan kos sebanyak RM200.

"Selain itu, kami juga sudah membuat kutipan derma dan lawatan bagi membantu keluarga ini," katanya.

Sesiapa yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama anak Nur Atikah iaitu Nurul Nabila bernombor 02116-29-00013459-2.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...