TERKINI :

Friday, May 6, 2016

Akhirnya wang rakyat bayar hutang 1MDB?

1MDB

SHAH ALAM - Segala hutang dan tanggungjawab Bandar Malaysia Sdn Bhd akan berpindah kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sekiranya pindah milik dilakukan seperti cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, beliau telah memberi amaran tentang perkara ini sebelumnya di mana pada akhirnya, wang rakyat juga yang akan digunakan untuk membayar hutang-hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya.

“Ini bermakna tanggungan hutang daripada terbitan sukuk RM2.4 bilion itu kini akan dipindahkan kepada kerajaan seperti juga tanggungjawab melibatkan kerja-kerja memindahkan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara.

“Sebelum ini, kaedah yang sama telah digunakan untuk memindahkan hutang RM4 bilion yang diambil anak syarikat 1MDB iaitu SRC International kepada MKD,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, PAC melalui laporannya terhadap 1MDB mencadangkan agar anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, tanah Air Itam dan tanah Pulau Indah seharusnya diserahkan kepada MKD supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih rapi dan teliti.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, jumlah hutang RM2.4 bilion ini akan ditanggung oleh kerajaan dalam keadaan pelbagai peruntukan dipotong kerana kedudukan kewangan kerajaan persekutuan yang makin merundum.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengingatkan Bandar Malaysia mempunyai dua tanggungjawab dan komitmen penting yang melibatkan kepentingan awam.

“Bandar Malaysia mempunyai tanggungan hutang sebanyak RM2.4 bilion (atau jumlah mengikut wang yang telah dibelanjakan setakat ini) melalui terbitan sukuk yang dilanggan oleh Tabung Haji.

“Bandar Malaysia bertanggungjawab menyiapkan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara melibatkan Pangkalan Udara Sungai Besi dan lapan yang lain,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...